Empat anak hafal 30 juzuk al-Quran, YB AMANAH ini buktikan kepimpinan bermula di rumah

Oleh FAKHRUL RAZI

Orang kata nak menilai seorang pemimpin, kena lihat juga macam mana dia memimpin keluarganya.

Adly Zahari membuktikan kepimpinan bermula dari rumah dengan al-Quran menjadi asas didikan hingga melahirkan anak-anak yang bergelar Hafiz dan Hafizah, di samping cemerlang dalam bidang akademik.

Kita mungkin mengenali Adly Zahari melalui tugas dan khidmatnya kepada masyarakat. Namun, di sebalik kehidupan sebagai seorang pemimpin, ada satu kisah yang menarik untuk kita kenali iaitu perjalanan pendidikan tujuh orang anaknya.

Empat daripada mereka telah menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran. Menariknya, usaha menghafaz al-Quran berjalan seiring dengan pendidikan akademik dan pembangunan kerjaya dalam bidang masing-masing.

Anak pertama, Izny, mengikuti pengajian Tahfiz al-Quran dan Muamalat di Darul Quran JAKIM sebelum memperoleh ijazah dalam bidang kewangan Islam.

Anak kedua, Muhammad, mendapat pendidikan di KYUEM sebelum melanjutkan pengajian perakaunan di University of Warwick, United Kingdom. Beliau juga telah menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Anak ketiga, Fazanah, lepasan Sekolah Menengah Sains Seremban, memiliki kelayakan ACCA dan ijazah perakaunan serta telah menamatkan hafazan al-Quran.

Anak keempat, Aufa, mempunyai diploma berkaitan kimia dan ijazah Pentadbiran Perniagaan (MBA), selain menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Bergerak seiring

Anak kelima dan keenam, Imtiaz dan Aulia juga mengikuti pengajian tahfiz sebelum sama-sama memiliki diploma dalam bidang ICT dan kini juga sama-sama sedang meneruskan pengajian ijazah berkaitan ICT dan kecerdasan buatan (AI).

Anak ketujuh, Aqeelah, pula masih menuntut di sebuah Sekolah Menengah Sains.

Daripada al-Quran dan kewangan Islam hinggalah kepada perakaunan, sains dan teknologi, setiap anak mempunyai laluan tersendiri.

Namun, pendidikan agama dan ilmu akademik menjadi dua perkara yang bergerak seiring dalam perjalanan mereka.

Melalui perjalanan pendidikan anak-anaknya, Adly Zahari memberi kita gambaran, kepimpinan juga bermula daripada tanggungjawab dalam keluarga.

Ini contoh kepimpinan melalui teladan yang dekat dengan kita, bukan sekadar memimpin dengan kata-kata, tetapi juga berusaha menerapkan nilai agama, ilmu dan disiplin dalam keluarga sendiri.

Pemimpin yang baik bukan hanya dinilai melalui khidmatnya kepada masyarakat, tetapi juga bagaimana dia melaksanakan amanah sebagai seorang bapa.

Dan itulah sisi Adly Zahari yang wajar menjadi inspirasi dengan memulakan usaha membina generasi masa depan dari rumah sendiri.