MCA ibarat melukut di tepi gantang, tujuh kerusi tinggal dua kerana kerjasama BN-Pas
MCA nampaknya semakin terpinggir dalam Barisan Nasional (BN) apabila parti itu hanya diperuntukkan dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, berbanding tujuh kerusi yang ditandingi pada PRN 2021.
Lebih menarik perhatian, dua kerusi yang diberikan kepada MCA kali ini ialah Machap Jaya dan Klebang, iaitu kedua-dua kerusi yang berjaya dimenangi parti itu pada PRN terdahulu.
Lima lagi kerusi yang pernah ditandingi MCA kini tidak lagi diperuntukkan kepada parti berkenaan.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan sama ada MCA masih mempunyai pengaruh yang cukup kuat dalam BN atau sekadar menjadi pelengkap kepada gabungan yang semakin memberi perhatian kepada strategi politik Umno untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu.
Dalam pembahagian yang diumumkan, BN akan bertanding di 21 kerusi, manakala Pas bersama rakan gabungannya diperuntukkan tujuh kerusi.
Ketidakpuasan hati MCA bukan lagi sekadar persoalan di sebalik tabir. Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dilaporkan membantah pengagihan kerusi sehingga beliau bersama beberapa pemimpin parti meninggalkan majlis pengumuman calon BN di Melaka pada 24 Oktober lalu.
Tindakan itu memperlihatkan betapa seriusnya pertikaian berkenaan. MCA bukan sahaja menerima jumlah kerusi yang jauh lebih sedikit berbanding PRN 2021, malah kepimpinannya turut mempersoalkan proses pengagihan yang didakwa dibuat tanpa persetujuan sewajarnya daripada parti.
Namun, bantahan MCA berdepan kenyataan pahit apabila Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan pengagihan kerusi telah dimuktamadkan.
Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada bantahan MCA benar-benar mempunyai kekuatan untuk mengubah keputusan atau sekadar menjadi suara tidak puas hati yang akhirnya diketepikan.
Di sinilah timbul persoalan lebih besar mengenai hala tuju Umno. Ketika MCA semakin mengecil ruang politiknya dalam BN, Umno pula dilihat membuka ruang kerjasama dengan Pas, parti yang selama ini bersaing dengannya untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu.
Kerjasama tersebut membuka ruang kepada spekulasi bahawa Umno mungkin lebih selesa bekerjasama dengan Pas untuk memainkan sentimen kaum dan agama bagi meraih sokongan Melayu, berbanding memberikan perhatian kepada kepentingan rakan komponennya sendiri seperti MCA.
Jika tanggapan itu semakin kuat dalam kalangan rakyat, MCA berdepan risiko dilihat sebagai parti yang hanya diperlukan ketika BN mahu menampilkan imej gabungan pelbagai kaum, tetapi tidak diberikan ruang politik yang setimpal ketika pembahagian kerusi dilakukan.
Apakah makna perkongsian kuasa dalam BN jika MCA yang sekian lama menjadi sebahagian daripada gabungan itu hanya memperoleh dua kerusi.
Keadaan itu juga boleh menimbulkan persepsi bahawa MCA semakin kehilangan kuasa tawar-menawar, manakala Umno lebih mengutamakan pengiraan politik yang berpusat pada persaingan mendapatkan undi Melayu.
Lebih menarik, Gerakan yang merupakan rakan sekutu PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dikatakan mungkin bakal diperuntukkan beberapa kerusi dalam PRN Melaka.
Sekiranya Gerakan diberikan ruang bertanding yang lebih besar daripada MCA, perbandingan itu boleh menambahkan lagi tekanan terhadap kedudukan MCA dalam politik negara.
Akhirnya, MCA kini berdepan dilema yang sukar. Membantah pengagihan kerusi boleh memperlihatkan pendirian tegas parti itu, tetapi keputusan yang sudah dimuktamadkan oleh kepimpinan BN Melaka menunjukkan betapa terbatasnya pengaruh MCA dalam menentukan hasil rundingan.
Jika keadaan ini berterusan, MCA berisiko dilihat sekadar melukut di tepi gantang dalam BN, sedangkan Umno terus menentukan arah politik gabungan itu berdasarkan kepentingannya sendiri.