PRN Melaka: Rekod cemerlang pentadbiran PH jadi sandaran tawar kepimpinan
Rekod pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menjadi sandaran gabungan itu untuk menawarkan kepimpinan kepada rakyat Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata beliau berharap rakyat Melaka memberikan peluang kepada PH untuk menerajui negeri itu berdasarkan pengalaman pentadbiran gabungan berkenaan di tiga negeri tersebut.
“Jadi, kita pun merasakan bahawa sekiranya rakyat Melaka memberikan peluang untuk kita memimpin negeri ini, insya-Allah kita akan buat sebaik yang mungkin sebagaimana yang dilaksanakan di negeri-negeri berkenaan.
“Itulah matlamat utama kita, nak memberikan pilihan kepada warga negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Minggu Melaka Ceria di Tanjung Minyak, malam tadi.
Azman, yang diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, berkata penyertaannya pada PRN kali ini merupakan pengalaman pertama beliau bertanding dalam pilihan raya.
Beliau berkata hasrat untuk berbakti kepada rakyat Melaka turut didorong oleh hubungan kekeluargaannya dengan negeri itu, memandangkan keluarganya berasal dari Kuala Sungai Baru.
“Jadi, nak katakan (saya) calon luar itu tak adalah. Saya pernah bersekolah di Melaka dan keluarga saya semua berasal dari Melaka, orang Melaka.
“Cuma, mungkin dari segi DUN, bukan berasal dari DUN Paya Rumput, tetapi hal itu bukan halangan bagi saya kerana yang penting kita boleh beri khidmat kepada orang Paya Rumput,” katanya.
Azman berkata dalam menangani isu setempat, beliau akan berusaha mengenal pasti dan mencari penyelesaian terhadap perkara yang masih belum diselesaikan sekiranya diberi mandat oleh pengundi.
Sabtu lepas, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gabungan itu bakal bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 31 Okt sebagai hari penamaan calon, 10 Nov bagi pengundian awal dan 14 Nov sebagai hari mengundi.