Ada Exco masih tak pulang kereta? MB N9 jawab ‘saya tak tahu, saya jaga kereta saya saja’
Dakwaan beberapa bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) masih belum memulangkan kenderaan rasmi meskipun arahan berhubung perkara itu telah dikeluarkan selepas pembatalan pelantikan mereka terus menjadi perhatian.
Mengulas perkara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hanya merespon ringkas bahawa beliau tidak mengetahui tentang perkara itu.
“Saya tak tahu, saya jaga kereta saya saja,” katanya yang juga ADUN Juasseh, memetik BH.
Buat masa ini beliau juga tidak bercadang mengemukakan senarai nama Exco baharu sehingga kes pembatalan pelantikan senarai EXCO sebelum ini diselesaikan di mahkamah.
“Kita sudah bawa ke mahkamah, kita tunggulah keputusan mahkamah, tapi mungkin ada perbincangan dan sebagainya, saya tak pasti,” kata beliau lagi.
Terdahulu, pelantikan 10 EXCO Negeri Sembilan dibatalkan secara rasmi dan diwartakan berkuat kuasa 20 September 2026 atas perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pembatalan itu dibuat susulan kesemua EXCO terbabit didakwa melanggar ikrar taat setia selepas mengeluarkan kenyataan mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz.