Anwar dedah rancangan ketatkan kawalan GLIC, GLC – 1MDB, Felda dan TH jadi pengajaran
Kerajaan akan memperketat tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan badan berkanun menerusi undang-undang baharu susulan kelemahan yang didedahkan dalam beberapa skandal terdahulu, termasuk 1MDB, Felda dan Tabung Haji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi menetapkan peraturan lebih ketat, memperjelas had kuasa serta memastikan pengurusan institusi berkenaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau keluarga.
Beliau berkata, pengalaman lalu menunjukkan kelemahan tadbir urus dalam institusi milik kerajaan perlu ditangani melalui pembaharuan peraturan dan undang-undang yang lebih jelas.
“Perkara ini telah dilaporkan dalam RCI dan task force, Kertas Putih 1MDB ataupun Felda, Tabung Haji dan pelanggaran itu seperti yang sedia maklum oleh ahli-ahli Yang Berhormat, agak banyak dan tentunya keterlaluan, sukar untuk dipertahankan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan GLIC, GLC dan badan berkanun digunakan atas nama kepentingan rakyat tetapi sebenarnya untuk tujuan politik.
Menurutnya, kerajaan bukan sahaja mahu memperbaiki tatakelola, malah memastikan peraturan yang diwujudkan dapat mengawal kegiatan anak syarikat dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam struktur korporat yang kompleks.
“Jadi, bukan sahaja dari segi tatakelola tapi memperuntukkan dalam peraturan-peraturan dan undang-undang yang sangat jelas,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan individu dalam institusi berkenaan perlu disertai tanggungjawab yang jelas, selain memastikan syarikat milik kerajaan tidak dianggap sebagai hak milik peribadi atau keluarga.
“Jadi, saya rasa Rang Undang-undang Entiti Milik Kerajaan ini, iaitu menetapkan kaedah yang ketat walaupun GLICs dan GLC tetapi soal tadbir urus mesti diperketatkan, had-had kuasa dan tokoh-tokoh yang diletakkan itu mesti lebih bertanggungjawab, tidak menjadikan ini sebagai property atau hak milik peribadi dan keluarga,” katanya.
Dalam sesi sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mempersoalkan kemajuan pelaksanaan inisiatif GEAR-uP yang menyasarkan komitmen pelaburan domestik RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028.
Beliau membangkitkan bahawa jumlah perbelanjaan yang direkodkan setakat ini masih sekitar RM26 bilion, selain mempersoalkan risiko penggunaan dana awam untuk menyelamatkan syarikat besar yang mengalami masalah kewangan.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata pelaksanaan pelaburan berkenaan dijangka meningkat pada penghujung tahun ini dan tahun depan, manakala peringkat awal pelaksanaan melibatkan perancangan, kajian serta penelitian terhadap pengalaman lalu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan melarang campur tangan tokoh politik dalam menentukan projek dan keutamaan pelaburan, yang sebaliknya perlu diputuskan oleh badan pelabur berdasarkan kepakaran profesional.
“Projek itu mesti ditetapkan dan ada badan pelabur yang terdiri daripada golongan profesional dan kepakaran tertentu,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengenai pelaburan GLIC di luar negara, Anwar mengakui pelaburan dalam projek Battersea Power Station di London menelan kos tinggi dan mengalami kerugian sebelum usaha pemulihan dilakukan.
Beliau berkata kerajaan kini menetapkan keutamaan supaya sekurang-kurangnya 20 peratus pelaburan GLIC disalurkan ke dalam negara pada peringkat awal, dengan kadar itu ditingkatkan mengikut kesediaan dan keupayaan institusi berkenaan.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memastikan dana pelaburan kerajaan turut memperkukuh daya tahan ekonomi domestik, merangsang pertumbuhan syarikat tempatan serta menyokong kepentingan strategik negara.
Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa prestasi keseluruhan sesebuah institusi tidak seharusnya dinilai berdasarkan satu pelaburan yang mengalami kerugian, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan portfolio dan hasil pelaburannya.
Beliau berkata pembaharuan tadbir urus dan penetapan keutamaan pelaburan domestik perlu berjalan seiring bagi memastikan dana berkaitan kerajaan dapat dimanfaatkan secara bertanggungjawab tanpa mengulangi kelemahan yang berlaku pada masa lalu.
BACA JUGA ANALISIS │SG4 sasar KDNK RM723 bilon, tetapi prestasi empat negeri belum cecah pertumbuhan 7 peratus