Diskusi Zamir-ZRA bukti perbezaan pandangan boleh dibahas secara matang – Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad memuji penguasaan mendalam Mohamad Zamir Ghazali dalam isu pertanian, khususnya kemampuan beliau menjawab persoalan dan kritikan secara tersusun, rasional serta berfakta.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi perbincangan terbuka antara Zamir dengan penganalisis politik, Zainal Rashid Ahmad (ZRA), yang disiarkan menerusi YouTube.

Menurut Khalid, Zamir memperlihatkan kemampuannya mempertahankan dasar dan usaha Kerajaan MADANI, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang diterajui Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Saya amat berbangga dengan Mohamad Zamir Ghazali, seorang pemimpin muda AMANAH yang memperlihatkan penguasaan mendalam terhadap isu pertanian serta kemampuan menjawab persoalan dan kritikan secara tersusun, rasional dan berfakta.

“Apa yang membanggakan ialah kesediaan Zamir mengakui kelemahan yang berlaku, pada masa yang sama menjelaskan tindakan kerajaan serta keperluan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta dan pertimbangan yang bertanggungjawab,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Khalid berkata, perbezaan pandangan tidak semestinya membawa kepada pertelingkahan, sebaliknya perbincangan berasaskan ilmu, fakta dan sikap saling menghormati dapat memberikan manfaat kepada rakyat.

Beliau berpandangan bahawa kritikan perlu dijawab dengan hujah, persoalan dijelaskan dengan fakta dan kelemahan diperbaiki melalui tindakan.

Khalid turut menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai budaya politik yang sepatutnya berkembang di negara ini.

“Perbincangan tersebut membuktikan bahawa perbezaan pandangan tidak semestinya membawa kepada pertelingkahan. Sebaliknya, apabila sesuatu isu dibahaskan dengan ilmu, fakta dan sikap saling menghormati, rakyat mendapat manfaat daripada penjelasan yang dikemukakan.

“Perbincangan tersebut telah berlangsung begitu lama (hampir 2 jam), dan oleh itu sekiranya ada insiden yang dilihat sebagai ‘terkasar dan terlepas cakap’, saya yakin ianya tidak disengajakan,” tambahnya lagi.

Dalam kenyataan sama, Khalid berkata AMANAH mempunyai ramai tokoh profesional, teknokrat dan pemimpin yang memiliki kepakaran serta pengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Beliau percaya Zamir merupakan antara tokoh berkebolehan dalam AMANAH yang mampu memberikan sumbangan kepada parti, kerajaan dan negara.

Khalid turut berharap lebih ramai tokoh profesional dan pemimpin muda AMANAH tampil berkongsi kepakaran, memberikan penjelasan serta menyumbang idea dan penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi rakyat.

“Saya percaya Zamir hanyalah salah seorang daripada ramai tokoh berkebolehan dalam AMANAH yang mampu memberikan sumbangan besar kepada parti, kerajaan dan negara.

“Insya-Allah, selepas ini lebih ramai tokoh profesional dan pemimpin muda AMANAH akan tampil berkongsi kepakaran, memberikan penjelasan serta menyumbang idea dan penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi rakyat,” ujarnya lagi.