AMK minta penjelasan Zahid, rakyat mahu jalan siap, bukan polemik

Jika peruntukan sudah disalurkan dan penyelarasan kewangan diluluskan, mengapa projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak masih dibatalkan? 

Persoalan itu dibangkitkan Mohd Nur Hilmie Milus, anggota Majlis Pimpinan AMK Malaysia yang menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberikan penjelasan tuntas berhubung isu berkenaan.

Mohd Nur Hilmie berkata kenyataan Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung pembatalan projek berkenaan seolah-olah memberikan gambaran bahawa Kementerian Kewangan (MOF) menjadi punca kepada permasalahan itu.

Menurutnya, MOF pada 2 September lalu telah menjelaskan bahawa peruntukan bagi jalan luar bandar di bawah KKDW disalurkan sepenuhnya, manakala rekod perbelanjaan kementerian bagi tempoh 2023 hingga 2025 menunjukkan jumlah yang melebihi peruntukan asal diluluskan.

Katanya, Zahid kemudiannya menjelaskan bahawa perbelanjaan berkenaan masih berada dalam lingkungan peruntukan yang telah dipinda dan diluluskan.

“Persoalannya, jika peruntukan telah disalurkan dan penyelarasan kewangan telah diluluskan, mengapa masih timbul isu pembatalan projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak?” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Nur Hilmie berkata perkara paling penting ketika ini ialah menjelaskan pihak yang membuat keputusan membatalkan projek berkenaan, alasan di sebalik keputusan itu serta kemungkinan berlakunya masalah dalam perancangan dan penyelarasan kewangan.

Menurutnya, Zahid bukan pihak luar dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, sebaliknya memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab secara langsung terhadap KKDW.

Justeru, beliau berpandangan Zahid wajar memberikan penjelasan menyeluruh bagi mengelakkan isu pentadbiran itu terus mencetuskan pelbagai persepsi dan spekulasi politik.

“Jangan sampai kelemahan penyelarasan atau pengurusan peruntukan di peringkat kementerian akhirnya menimbulkan gambaran seolah-olah Perdana Menteri yang harus dipersalahkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak berhak mengetahui kedudukan sebenar, termasuk jika terdapat kekangan kewangan atau keputusan khusus yang menyebabkan projek berkenaan dibatalkan.

“Jika terdapat kekangan kewangan, bentangkan faktanya. Jika projek dibatalkan, jelaskan siapa yang mengarahkan serta apakah langkah penyelesaiannya,” katanya.

Mohd Nur Hilmie berkata polemik mengenai pihak yang patut dipersalahkan tidak seharusnya mengatasi keperluan mendesak penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak terhadap kemudahan infrastruktur yang lebih baik.

Katanya, penjelasan terbuka diperlukan supaya isu itu dapat diselesaikan berdasarkan fakta, bukannya terus menjadi pertikaian politik antara pihak yang terlibat.

“Rakyat Sabah dan Sarawak mahukan jalan yang disiapkan, bukannya polemik politik yang tidak berkesudahan,” katanya.

BACA JUGA Warta sahkan Mubarak hilang jawatan, sekutunya turut tersingkir