Pemilik diesel kini boleh pindah kelayakan kepada individu lain

Kerajaan meluluskan hampir 21,700 permohonan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel setakat 27 Oktober, termasuk 12,160 permohonan dari Sabah, Sarawak dan Labuan, bagi memudahkan pengguna sebenar kenderaan diesel menikmati subsidi bahan api yang layak diterima.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kemudahan yang ditambah baik sejak 16 September itu membolehkan pemilik berdaftar memindahkan kelayakan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah, layak menerima BUDI95 dan merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan.

Menurutnya, penambahbaikan itu bertujuan menangani situasi apabila kenderaan digunakan ahli keluarga atau pekerja yang bukan pemilik berdaftar, termasuk melalui amalan sambung bayar, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Bagi pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel, kelayakan boleh dipindahkan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan dimiliki dan semakan kelayakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung jumlah pemilik kenderaan pikap dan jip yang menerima tambahan 100 liter diesel bersubsidi serta langkah kerajaan membantu mereka yang menggunakan kenderaan berkenaan untuk perniagaan kecil, pertanian dan perjalanan ke kawasan pedalaman.

Amir Hamzah berkata lebih 291,000 pengguna kenderaan diesel jenis jip dan pikap di seluruh negara turut menikmati kelayakan tambahan 100 liter sebulan di bawah BUDI MADANI Diesel setakat semalam.

Penambahan itu menjadikan jumlah kelayakan subsidi diesel bagi pemilik yang layak meningkat kepada 400 liter sebulan berbanding kelayakan asas sebanyak 300 liter.

“Inisiatif ini mengambil kira penggunaan jip dan pikap sebagai kenderaan utama untuk membawa hasil pertanian, barangan perniagaan kecil, mengangkut pekerja serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan pengguna yang betul-betul bergantung kepada kenderaan diesel untuk kegiatan ekonomi harian terus mendapat perlindungan subsidi yang sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memperluas pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada jip dan pikap milik persendirian syarikat, termasuk perusahaan kecil, bagi membolehkan kenderaan berkenaan menikmati diesel bersubsidi.

Setakat 26 Oktober, lebih 27,200 kenderaan jip dan pikap telah mendapat kelayakan di bawah SKDS.

Langkah itu antara usaha kerajaan memastikan golongan yang menggunakan kenderaan diesel bagi menjana pendapatan, menjalankan perniagaan kecil dan menyokong kegiatan pertanian terus mendapat akses kepada subsidi bersasar.

Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel berdasarkan data penggunaan, maklum balas pengguna, input kerajaan negeri serta keperluan sektor terlibat.

Katanya, pemantauan itu penting bagi memastikan penambahbaikan yang dilaksanakan memenuhi keperluan semasa dan membolehkan subsidi disalurkan kepada pengguna yang benar-benar layak. – BERNAMA

BACA JUGA Dulu bebas, kini bersalah! Chegubard dihukum penjara 4 bulan kes fitnah Agong