Projek jalan Sabah, Sarawak batal? Mustapha jawab dakwaan Zahid tak berasas

Dakwaan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak dibatalkan atau peruntukannya dipotong tidak berasas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Sebaliknya, Mustapha menegaskan penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bukan bermaksud projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini dibatalkan.

Penjelasan itu menyusuli kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Rakyat pada Isnin lalu yang mendakwa Sabah dan Sarawak menjadi “mangsa” apabila beberapa projek pembangunan 2026 dibatalkan meskipun peruntukan sudah tersedia, tetapi dana tidak disalurkan.

Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut memaklumkan bahawa SST yang sudah dikeluarkan bagi sesetengah projek terbabit turut dibatalkan.

Bagaimanapun, Mustapha berkata arahan menangguhkan pengeluaran SST baharu pada 10 September lalu merupakan langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan bayaran kepada kontraktor terus meningkat.

Menurutnya, masalah sebenar berpunca daripada komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan pembayaran kepada kontraktor.

“Penangguhan pengeluaran SST baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga pengerusi PKR Sabah berkata Kementerian Kewangan telah meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta tahun ini bagi membantu menangani tunggakan bayaran kepada kontraktor JALB.

Pada masa sama, peruntukan asal JALB di peringkat nasional meningkat daripada RM2.11 bilion pada 2026 kepada RM2.27 bilion pada 2027.

Mustapha berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut diminta menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan, bagi memastikan projek sedia ada dapat diteruskan.

Minta bukti dakwaan projek dibatalkan

Mustapha turut mencabar pihak yang mendakwa Sabah dan Sarawak menjadi mangsa pemotongan atau pembatalan projek supaya mengemukakan bukti terperinci bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Beliau berkata senarai projek yang didakwa dibatalkan, nilai peruntukan serta status pembatalan perlu dikemukakan supaya perkara itu dapat dinilai berdasarkan fakta.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata komitmen kerajaan terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak turut dizahirkan menerusi Belanjawan 2027.

Peruntukan Persekutuan kepada Sabah meningkat daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion, manakala peruntukan kepada Sarawak meningkat daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion.

Selain itu, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri berkenaan.

“Pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.

“Keperluan memperbaiki jalan luar bandar, meningkatkan keterhubungan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah tidak pernah dipinggirkan,” katanya.

BACA JUGA Ka Siong U-turn? MCA akur dua kerusi, kembali bersama BN selepas bantahan terbuka