Semalam kita ‘meeting’, hari ini kita bawa ke PMX, hari ini juga selesai, ini cara Gen Z bekerja
Masalah penalti cukai berjumlah RM70,000 yang membelenggu Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat sejak tujuh tahun lalu akhirnya mendapat penyelesaian dalam tempoh sehari.
Penyelesaian itu hasil usaha calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin atau lebih dikenali sebagai Mukhlis Mubin.
Calon Parti Amanah Negara (AMANAH) itu mendedahkan, beliau berjaya membawa permasalahan persatuan berkenaan terus kepada perhatian pihak yang berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan, sehingga memperoleh kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menangani penalti berjumlah RM70,000 itu.
Menurut Mukhlis, usaha tersebut bermula selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat bagi mendengar sendiri masalah kewangan yang telah lama membebankan persatuan berkenaan.
“Semalam kita dah jumpa dengan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat.
“Persatuan itu menanggung hutang cukai sebanyak lebih kurang RM400,000 dan dikenakan bayaran penalti sebanyak RM70,000,” katanya dalam satu klip video yang dikongsikan di media sosial beliau.
Jalan penyelesaian
Beliau menjelaskan, persatuan terbabit sebenarnya telah berusaha melangsaikan sebahagian besar tunggakan cukai tersebut dengan pembayaran sekitar RM380,000, manakala baki yang dimaklumkan kepadanya ialah RM10,000.
Bagaimanapun, penalti tambahan sebanyak RM70,000 masih menjadi beban kepada persatuan berkenaan, sekali gus mendorongnya mencari jalan penyelesaian menerusi saluran pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Susulan pertemuan dengan pengurusan persatuan, Mukhlis berkata, beliau membawa perkara tersebut ke Parlimen dan bertemu dengan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim bagi mendapatkan bantuan serta perhatian segera terhadap masalah berkenaan.
“Dan hari ini kita bertemu dengan saudara Kamil Munim di Parlimen.
“Alhamdulillah. Kita dapat kelulusan tandatangan PMX sendiri, dapat diluluskan RM70,000 diselesaikan penalti. Dah selesailah kiranya,” katanya.
Beliau turut merumuskan tindakan pantas itu dengan ungkapan ringkas yang menggambarkan pendekatannya dalam menguruskan masalah masyarakat setempat.
“Semalam kita meeting, hari ini kita bawa ke Parlimen, hari ini juga selesai,” kata Mukhlis lagi.
BACA JUGA Model 10 obligasi Bernas punca petani terikat, tak dapat jual padi harga lebih baik – Zamir