Konon SG4 tak dapat perhatian Putrajaya, rupanya berbilion ringgit disediakan untuk negeri PN

Dakwaan kononnya empat negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) dipinggirkan daripada agenda pembangunan negara ternyata bercanggah dengan angka peruntukan berbilion ringgit yang dibentangkan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Malah, Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM8.11 bilion bagi pembangunan empat negeri yang dikenali sebagai State Government 4 (SG4) untuk tahun 2027, meningkat berbanding RM7.98 bilion pada tahun sebelumnya.

Empat negeri berkenaan ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang selama ini menjadi tumpuan perbahasan mengenai dakwaan layanan tidak adil Kerajaan Persekutuan terhadap negeri pembangkang.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, Akmal Nasrullah menegaskan bahawa Putrajaya tidak pernah menjadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk mengetepikan pembangunan mana-mana negeri.

“Dalam kita berbahas untuk merancakkan pembangunan ekonomi masing-masing, Kerajaan Persekutuan tidak melihat keperluan meminggirkan mana-mana negeri.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak sana mengeluarkan kenyataan yang lebih adil,” katanya.

Nilai keseluruhan

Beliau mengambil Kelantan sebagai contoh apabila mendedahkan negeri yang ditadbir Pas itu mempunyai sebanyak 509 projek pembangunan bagi tahun 2027, membabitkan keseluruhan kos projek bernilai RM31.21 bilion.

Angka berkenaan merujuk kepada nilai keseluruhan projek yang dirancang atau dilaksanakan, bukannya jumlah peruntukan tunai yang dibelanjakan dalam tempoh setahun.

Barisan Menteri Besar PN bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Ketua Panel Penasihat SG4.

Berdasarkan angka yang turut diketengahkan Akmal Nasrullah sebelum ini, Kerajaan Persekutuan menyediakan RM7.70 bilion bagi perbelanjaan pembangunan empat negeri SG4 pada 2025.

Jumlah tersebut kira-kira 6.8 kali ganda lebih besar berbanding gabungan anggaran belanjawan pembangunan kerajaan keempat-empat negeri berkenaan yang hanya berjumlah RM1.13 bilion bagi tahun sama.

Bukan itu sahaja, sebanyak 1,487 projek pembangunan dengan kos keseluruhan RM71.52 bilion telah diluluskan untuk negeri SG4 menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Antara projek strategik yang mendapat sokongan pembangunan Persekutuan termasuk Kedah Rubber City, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tok Bali Industrial Park, Taman Biopolimer Kertih, Perlis Inland Port serta Kawasan Perindustrian Lembah Chuping.

Peruntukan dan projek berkenaan memperlihatkan skala komitmen pembangunan Putrajaya terhadap empat negeri tersebut, sekali gus menjadi asas kepada penjelasan kerajaan dalam menjawab dakwaan SG4 dipinggirkan.

Tahap kemajuan

Bagaimanapun, Akmal Nasrullah menjelaskan bahawa agihan peruntukan pembangunan tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah penduduk atau perbandingan angka semata-mata.

Sebaliknya, kerajaan perlu mengambil kira tahap kemajuan, jurang pembangunan, keperluan infrastruktur serta kemampuan sesebuah negeri membiayai projek pembangunan dengan sumber sendiri.

“Sehubungan itu, perbandingan peruntukan pembangunan perlu mengambil kira tahap pembangunan sesebuah negeri serta keperluan merapatkan jurang pembangunan antara negeri,” katanya.

Menurut beliau, negeri yang sudah mempunyai infrastruktur perindustrian lebih maju mungkin mampu menanggung sebahagian kos pembangunan melalui kerajaan negeri atau pihak swasta.

Namun, bagi kawasan yang masih memerlukan pembangunan asas seperti Tok Bali di Kelantan dan Kulim Hi-Tech Park di Kedah, campur tangan serta pembiayaan Kerajaan Persekutuan diperlukan, termasuk bagi urusan pengambilan tanah dan penyediaan infrastruktur.

Pendekatan itu penting bagi memastikan negeri yang masih ketinggalan tidak terus tercicir, selain membuka peluang pelaburan, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.

Terdahulu, Anwar turut menegaskan di Dewan Rakyat pada 27 Oktober lalu bahawa semua kawasan Parlimen perlu diberi pertimbangan dalam pengagihan peruntukan pembangunan tanpa mengira sama ada diwakili kerajaan atau pembangkang.

Perdana Menteri memberikan contoh Terengganu yang menyaksikan jumlah peruntukan Persekutuan meningkat daripada RM6 bilion ketika pentadbiran terdahulu kepada RM8.2 bilion bagi tahun 2027 di bawah Kerajaan MADANI.

BACA JUGA Bersatu dijangka meterai CSA dengan Anwar, 13 ahli Parlimen digantung pula tak dijemput