PM Anwar zahir dukacita kepada Sepanyol susulan nahas kereta api
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Sepanyol susulan tragedi perlanggaran tren yang mengorbankan puluhan nyawa setakat ini.
Beliau menyampaikan ucapan simpati kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.
Anwar berkata, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sepanyol dalam menghadapi detik sukar itu, selain merakamkan penghargaan kepada petugas kecemasan dan pihak lain yang bertungkus-lumus di lokasi kejadian.
“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada Perdana Menteri Pedro Sánchez, kerajaan dan rakyat Sepanyol, khususnya keluarga mangsa,” katanya di Facebook.
Beliau turut menyatakan kesedihan atas kehilangan nyawa dalam tragedi berkenaan.
“Fikiran kami bersama semua yang kehilangan orang tersayang, dan kami mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih,” katanya.
Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada petugas kecemasan serta pihak lain yang bekerja keras di lokasi kejadian.