RENCANA | Bayangkan parti lain dalam Kabinet bising pasal belanja lebih KKDW, mesti Umno melompat marah

OLEH ZULQARNAIN LUKMAN

Ada orang persoalkan kenyataan media Umno ini berkaitan perenggan 5 yang menyatakan, “Menggesa agar Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan menarik balik arahan pembatalan projek-projek berkepentingan rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak yang melibatkan projek-projek pembangunan luar bandar termasuk jalan luar bandar dan projek bekalan air dan elektrik luar bandar.”

Ini kerana beberapa orang MP Umno telah dipilih untuk berada di dalam Kabinet dan sepatutnya perkara seperti ini dibincangkan di dalam mesyuarat jemaah menteri dan bukannya secara media.

Hal ini disebabkan pemakaian prinsip ‘collective responsibility’ di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan. 

Perkara 43(3)  Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa “The Cabinet shall be collectively responsible to Parliament”. 

Ertinya Kabinet bertindak dan bertanggungjawab sebagai satu badan; keputusan kerajaan dipertahankan secara bersama, dan akauntabilitinya adalah kepada Parlimen.

Berikutan itu, secara pantas Menteri Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapa Sakmud berkata arahan penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bertarikh 10 Sept lepas ialah langkah kawalan kewangan dalaman bagi mengelakkan pertambahan komitmen kontrak, yang melebihi siling tahunan dan bukannya pembatalan projek pembangunan yang telah diluluskan.

Oleh itu, jika prinsip ini dipakai terhadap Umno yang mempunyai Menteri dalam Kabinet, maka kenyataan seperti ini dilihat telah menimbulkan ketegangan dengan disiplin tanggungjawab kolektif dan kerahsiaan Kabinet. 

Perbezaan pendapat sepatutnya disalurkan di dalam Kabinet. Tindakan menggesa secara terbuka boleh dilihat sebagai menjejaskan prinsip bahawa kerajaan bercakap dengan satu suara. 

Secara konvensyen, seorang ahli Kabinet yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan hendaklah meletak jawatan. Perbezaan pendapat sepatutnya dibangkitkan di dalam Kabinet, bukan melalui kenyataan awam.

Bayangkan jika ada sebuah parti lain yang turut berada di dalam Kabinet turut mengeluarkan satu kenyataan media berkaitan isu perbelanjaan KKDW yang melebihi belanjawan. Sudah pasti Umno akan melompat marah terhadap kenyataan sebegitu.

Soal Umno ingin bekerjasama dengan parti PN atau Pas itu tidak menjadi isu kerana ianya bukanlah perkara yang menjadi agenda kabinet. Itu terpulang kepada pendekatan parti masing-masing. 

Namun, selagi mana Menteri Umno masih lagi menganggotai kabinet maka kenyataan yang menyentuh isu-isu kabinet sepatutnya diselesaikan di dalam kabinet dan bukanlah secara kenyataan terbuka. 

Sebelum ini, Zahid Hamidi juga telah mempersoalkan isu bajet KKDW secara terbuka yang akhirnya membuatkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, membuat kenyataan bahawa perbelanjaan KKDW melebihi peruntukan asal bagi beberapa tahun (contohnya bagi JALB/projek luar bandar: RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion pada 2023; RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2024; dan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion pada 2025).

Justeru, amalan seperti ini sewajarnya tidak diulang lagi oleh mana-mana parti yang mempunyai wakil di dalam Kabinet.