Syed Saddiq jelas sebab tandatangan CSA: 3 reformasi untuk rakyat, bukan parti

Memisahkan kuasa pelantikan Pendakwa Raya daripada Perdana Menteri, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta memastikan peruntukan adil untuk kawasan pembangkang menjadi tiga sebab utama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong perjanjian CSA bersama kerajaan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, selepas lebih lapan sesi rundingan dengan kerajaan sejak 2023, perjanjian berkaitan reformasi dan kestabilan negara itu akhirnya ditandatangani.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan keperluan melaksanakan reformasi institusi dan memastikan rakyat mendapat manfaat, meskipun parti politik mempunyai pendirian yang berbeza.

Syed Saddiq berkata beliau sendiri terlibat dalam Jawatankuasa Khas yang merundingkan reformasi berkenaan selama enam bulan.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk menyokong pindaan berkaitan apabila dibentangkan di Parlimen.

“Bila pindaan dibawa ke Parlimen, saya akan sokong demi masa depan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Antara perkara utama yang diperjuangkan menerusi perjanjian itu ialah pemisahan kuasa pelantikan Pendakwa Raya daripada Perdana Menteri.

Syed Saddiq berkata langkah tersebut penting bagi mengelakkan institusi pendakwaan digunakan untuk melindungi sekutu politik atau mengambil tindakan terhadap pihak yang menjadi lawan.

Menurutnya, undang-undang perlu dikuatkuasakan secara adil tanpa mengira kedudukan atau hubungan politik seseorang.

“Kawan atau lawan, semua mesti ikut undang-undang,” katanya.

Reformasi itu bertujuan memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan, namun pelaksanaannya memerlukan penelitian terhadap bentuk pindaan undang-undang yang akan dibawa ke Parlimen.

Komitmen kedua ialah mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Syed Saddiq menegaskan had itu perlu terpakai kepada semua pemimpin, tanpa mengira parti politik yang diwakili.

Pendekatan berkenaan, katanya, penting bagi memastikan had tempoh jawatan ditentukan melalui peraturan yang sama dan bukan berdasarkan identiti individu yang memegang kuasa.

Cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang disebutnya sebagai antara asas sokongan terhadap perjanjian CSA.

Komitmen ketiga menyentuh pemberian peruntukan yang adil kepada kawasan Parlimen pembangkang, termasuk Muar yang diwakili Syed Saddiq.

Beliau berkata rakyat tidak sepatutnya dinafikan bantuan kebajikan hanya kerana memilih wakil rakyat daripada parti pembangkang.

“Insya-Allah, Muar akan dapat semula peruntukan kebajikan yang sudah lama kita tunggu.

“Rakyat berhak dibantu, tidak kira warna politik pilihan mereka,” katanya.

Syed Saddiq turut meminta supaya prinsip pemberian peruntukan secara adil itu dijadikan undang-undang agar kerajaan pada masa hadapan juga terikat dengan kewajipan berkenaan.

Beliau menegaskan ketelusan dan akauntabiliti perlu menjadi asas pengurusan peruntukan bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan.

“Bagi Muar, seperti biasa – 100% transparency. 100% accountability,” katanya.

Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; serta Tengku Zafrul Abdul Aziz atas usaha menjayakan rundingan itu.

Menurutnya, perbezaan parti tidak seharusnya menghalang kerjasama dalam perkara yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

“Berbeza parti, tetap boleh bekerjasama. Yang penting, rakyat dapat manfaat dan negara diutamakan,” katanya.

Perjanjian CSA itu, menurut penjelasan Syed Saddiq, menjadi ruang untuk menggerakkan agenda reformasi, selain memastikan prinsip keadilan dalam pemberian peruntukan tidak terhenti pada satu-satu pentadbiran.

BACA JUGA Strategi Pas Di Melaka, jangan sampai Zahid jadi PM – Zaid Ibrahim