CSA bukan tiket masuk kerajaan, PH tegaskan reformasi dan rakyat tetap diutamakan
Pakatan Harapan (PH) menyifatkan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (CSA) antara Kerajaan MADANI dan 13 Ahli Parlimen pembangkang sebagai bukti kematangan politik, selain membuka ruang untuk memperkukuh kestabilan negara dan melaksanakan agenda reformasi.
Dalam kenyataan pada 30 Oktober, Jabatan Pilihan Raya PH berkata perjanjian yang ditandatangani pada 29 Oktober itu tidak bermaksud Ahli Parlimen terbabit menyertai Kerajaan MADANI.
Sebaliknya, mereka kekal dengan pendirian politik masing-masing serta boleh meneruskan peranan sebagai wakil rakyat dan menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan.
Menurut PH, CSA itu penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran, dasar kerajaan serta pelaksanaan projek pembangunan tidak terganggu sehingga tamat penggal Parlimen.
Antara komitmen yang terkandung dalam persefahaman itu ialah sokongan terhadap pentadbiran semasa sehingga tamat penggal Parlimen serta kelulusan Belanjawan 2027.
PH turut menyambut baik komitmen berkaitan agenda reformasi institusi, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal.
Selain itu, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut dilihat sebagai langkah penting bagi memperkukuh kebebasan institusi serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
PH berkata sokongan terhadap reformasi berkenaan membuktikan CSA bukan sekadar persetujuan politik untuk mengekalkan kerajaan, sebaliknya turut memberi ruang kepada usaha memperbaiki sistem pentadbiran negara.
Dalam kenyataan sama, PH turut mengaitkan kestabilan politik dengan prestasi ekonomi negara, termasuk pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada 2025 dan kadar inflasi 1.4 peratus.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PH berpandangan kempen politik seharusnya memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat dan bukannya persengketaan antara parti.
Pengundi, katanya, perlu menilai rekod perkhidmatan serta kemampuan calon dan parti menawarkan penyelesaian terhadap isu setempat.
Antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian termasuk perumahan, kemudahan asas, peluang perniagaan kecil dan pembangunan sektor pelancongan.
PH turut menegaskan pembangunan negeri perlu dilaksanakan melalui kerjasama antara wakil rakyat negeri dan Persekutuan, tanpa meminggirkan kawasan yang diwakili pembangkang.
Menurut gabungan itu, peruntukan pembangunan yang adil penting bagi memastikan rakyat menerima manfaat tanpa mengira parti politik yang memenangi kawasan masing-masing.
“Kestabilan mesti membawa hasil. Reformasi mesti dilaksanakan. Rakyat mesti diutamakan,” menurut kenyataan itu.
BACA JUGA Mahfuz : Umno sudah memilih gelanggang, tetapi takut pilih pendirian?