‘Harap asah pedangnya tak lama’, Nik Abduh gembira makan bersama Eric See-To
Senator Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkongsi gambar pertemuannya dengan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi berhubung penggunaan kalimah al-Quran.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok itu dilihat tersenyum ketika menikmati hidangan bersama Eric di sebuah restoran.
“Gembira bersama Dato Eric hari ini. Harap saya, asah pedangnya tak lama,” tulis Nik Abduh ringkas menerusi hantaran berkenaan.
Bagaimanapun, ungkapan mengenai ‘asah pedang’ itu mengundang pelbagai tafsiran dan sindiran dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk mereka yang mempersoalkan hubungan rapat kedua-duanya.
Pengguna Facebook, Mohd Noh Hakim menyindir, “Demi sesuap nasi apa saja ditunggang,” manakala Rendy Ismail pula menulis, “Mengaji dari Eric rupanya…”
Tidak kurang juga yang mengaitkan pertemuan itu dengan pendirian Nik Abduh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Lebih menghormati Eric dari PMX,” sindir Nasrullah Mohamed Gani.
Sementara itu, Daniel Taboh Nyala secara sinis menyifatkan pertemuan itu sebagai “Sifu bersama anak muridnya”, sementara Wan Omar mempersoalkan, “Pedang apa pulak ni. Pelik-pelik ustaz jadian zaman sekarang.”
‘Air mani terbuang’
Malah, ada netizen yang kembali mengungkit ungkapan kontroversi “air mani terbuang” yang pernah digunakan Nik Abduh dalam tulisannya pada 2018 ketika berlaku perbezaan pendirian politik dengan abang kandungnya, Nik Omar Nik Abdul Aziz.
“Baru tahu siapa air mani yang terbuang,” sindir pengguna dikenali sebagai Nik Ahmad Gomo, manakala Abu Mukhlis turut mengaitkan pertemuan itu dengan ungkapan berkenaan.
Muhamad Ibrahim pula membandingkan perwatakan Nik Abduh dengan Nik Omar yang menurutnya lebih lemah lembut, merendah diri dan menggunakan bahasa yang baik meskipun mempunyai pendirian politik berbeza.
Untuk rekod, Nik Abduh pernah menulis ungkapan “Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina” ketika mengulas keputusan Nik Omar bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pertemuan Nik Abduh dengan Eric kali ini turut menarik perhatian kerana beliau sebelum ini secara terbuka mempertahankan bekas pegawai komunikasi BN tersebut susulan kontroversi perkataan ‘lighad’ yang digunakan Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.
Eric ketika itu dikecam selepas mengaitkan perkataan ‘lighad’ dengan ‘liwat’ dalam ulasan politiknya, sehingga mengundang bantahan pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Nik Abduh kemudiannya tampil mempertahankan Eric dengan menyifatkan kontroversi berkenaan sebagai salah faham yang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum seseorang tanpa memahami niat sebenar.
“Semua orang tahu dia nak bergurau, sindiran politik. Tanpa dia sedar, itulah yang perlu kita pegang bahawa dia tidak berniat langsung menghina.
“Jadi, kita jangan menzalimi dia,” katanya dalam satu rakaman audio siar yang dilaporkan media pada 13 Oktober lalu.
BACA JUGA Padah buat hantaran jelik terhadap Tuanku Muhriz, dua diheret ke mahkamah, seorang dah hilang kerja