Mahfuz : Umno sudah memilih gelanggang, tetapi takut pilih pendirian? 

Umno perlu menjelaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya parti itu terus bekerjasama dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang rakan gabungannya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, mempersoalkan pendirian politik Umno susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu untuk bekerjasama dengan Pas dan PN serta melancarkan manifesto bersama bagi menghadapi PRN berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai prinsip dan kesetiaan politik Umno yang pada masa sama masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Di Putrajaya, Umno duduk semeja dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan. Tetapi di Melaka, Umno memilih untuk berpakat dengan Pas dan PN bagi menghadapi PH.

“Di satu meja mengaku rakan, tetapi di gelanggang pilihan raya membantu pihak yang menentang rakan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz turut menggunakan perumpamaan ‘musang berbulu ayam’ bagi menggambarkan percanggahan pendirian politik yang didakwanya berlaku dalam Umno.

Beliau berkata rakyat tidak seharusnya menganggap percanggahan politik sedemikian sebagai perkara biasa, terutama apabila sesebuah parti menikmati manfaat kerjasama di peringkat pusat tetapi mengambil pendekatan berbeza ketika berdepan pilihan raya negeri.

Katanya, Umno perlu menyatakan secara terbuka sama ada masih mahu menjadikan PH sebagai rakan politik atau memilih Pas dan PN sebagai sekutu baharu.

“Jangan sampai rakyat melihat Umno sebagai parti yang mahu menikmati hasil sebuah kerjasama tetapi pada masa sama membantu melemahkan rakan yang menjayakannya.

“Kalau Umno benar-benar memilih Pas dan PN sebagai rakan politiknya, nyatakan dengan berani. Jangan berselindung di sebalik alasan politik negeri berbeza daripada politik pusat.

“Jika prinsip boleh berubah, bagaimana rakyat hendak mempercayai janji yang dibuat selepas pilihan raya?” soalnya.

Mahfuz menegaskan isu berkenaan bukan sekadar berkaitan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau strategi pilihan raya di Melaka.

Sebaliknya, katanya, perkara itu menyentuh soal kepercayaan rakyat terhadap makna perkongsian kuasa, komitmen politik dan tanggungjawab parti-parti yang membentuk kerajaan.

Beliau sekali lagi mencabar Umno supaya memperjelaskan pendiriannya berhubung kerjasama politik yang sedang dijalankan.

“Umno sudah memilih gelanggang, sekarang berani atau tidak memilih pendirian?” katanya.

BACA JUGA Dari RM12.7 bilion kepada RM2 trilion! Bursa Malaysia cipta sejarah 50 tahun