Zaid dakwa Annuar Musa tak puas hati rundingan kerusi Umno-Pas di Melaka?
Rundingan kerusi antara Umno dengan Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terus dipersoalkan apabila bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim.
Dalam satu tulisan di media sosial, Zaid yang baru menyertai Pas mendakwa Tan Sri Annuar Musa tidak berpuas hati dengan pendekatan Umno dalam menentukan pembahagian kerusi.
Ulas Zaid, sepanjang rundingan dan pandangan Annuar itu mempunyai asas, terutama apabila kemampuan parti dan calon untuk memenangi sesuatu kawasan sepatutnya menjadi pertimbangan utama dalam rundingan pilihan raya.
Menurutnya, Pas perlu lebih tegas dalam berunding dengan Umno dan tidak terlalu mengalah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli serta melemahkan semangat parti.
Beliau berkata pendekatan yang terlalu memberi ruang kepada Umno boleh menjejaskan matlamat Pas untuk memperluas pengaruh politiknya, termasuk usaha memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dan mencapai kemenangan di Selangor.
‘Pas lebih kuat daripada Umno’
Zaid turut mempersoalkan tujuan sebenar kerjasama antara kedua-dua parti itu, sambil menegaskan bahawa rundingan sepatutnya berteraskan usaha memaksimumkan kemenangan parti-parti berteraskan Melayu, bukannya mengutamakan kepentingan individu tertentu.
“Apakah tujuan sebenar kerjasama ini? Kita perlu kembali kepada asas. Pas lebih kuat daripada Umno. Kita bukan seperti MCA.
“Sudah tentu tujuannya adalah untuk memastikan peluang parti-parti berteraskan Melayu memenangi pilihan raya dapat dimaksimumkan.
“Saya berharap kita tidak menjalinkan kerjasama ini semata-mata untuk menjadikan Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook.
Beliau turut berharap lebih ramai pemimpin Pas berani menyuarakan pandangan secara terbuka mengenai strategi kerjasama dengan Umno, termasuk dalam soal pembahagian kerusi.
Mengulas lanjut, Zaid merujuk pandangan Annuar yang menurutnya menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap pendekatan Umno di Melaka.
Zaid berpandangan, asas rundingan kerusi sepatutnya mengambil kira parti mana yang mempunyai peluang lebih besar untuk menang di kawasan tertentu, bukannya bergantung semata-mata pada kedudukan parti dalam gabungan.
“Pendekatan beliau (Annuar) ada asasnya, iaitu melihat parti mana yang mampu menang di sesuatu kawasan dan menjadikan perkara itu sebagai formula kemenangan,” katanya.
Menurut Zaid, Pas perlu memastikan kerjasama politik yang dijalinkan benar-benar memberi manfaat kepada parti dan tidak menyebabkan mereka kehilangan peluang untuk bertanding di kawasan yang berpotensi dimenangi.
Isu itu timbul selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan gabungan berkenaan akan bertanding di 21 kerusi dalam PRN Melaka.
Pas bersama rakan strategiknya pula diperuntukkan tujuh kerusi berdasarkan pembahagian yang dipersetujui bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.
Pembahagian tersebut menjadi latar kepada persoalan Zaid mengenai sama ada rundingan berkenaan benar-benar berasaskan peluang kemenangan atau turut dipengaruhi pertimbangan politik lain.
Kenyataan Zaid itu memperlihatkan perbezaan pandangan dalam Pas mengenai pendekatan terbaik untuk bekerjasama dengan Umno, terutama apabila pembahagian kerusi menjadi antara faktor penting dalam menentukan strategi menghadapi PRN Melaka.
Persoalan utama kini ialah sejauh mana formula pembahagian kerusi itu mampu memenuhi matlamat kedua-dua pihak untuk memaksimumkan kemenangan, tanpa menjejaskan kepentingan politik masing-masing.
Dalam perkembangan terkini, selepas memonopoli 21 kerusi, Umno juga berjaya mengambil satu lagi kerusi yang diperuntukan kepada PN untuk diserahkan kepada MCA yang sebelum ini memprotes keras apabila diberi dua kerusi.
BACA JUGA Syed Saddiq jelas sebab tandatangan CSA: 3 reformasi untuk rakyat, bukan parti