4,000 permohonan usahawan B40 di Kelantan, Anwar umum peruntukan geran RM200 juta tahun depan
Sambutan menggalakkan terhadap Skim Usahawan Bangkit di Kelantan yang menerima lebih 4,000 permohonan daripada golongan B40 menyaksikan kerajaan mengumumkan peruntukan geran kira-kira RM200 juta bagi tahun 2027 untuk memperkasakan usahawan kecil di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membantu penjaja dan peniaga kecil mendapatkan modal serta peralatan yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.
Menurut beliau, daripada lebih 4,000 permohonan yang diterima menerusi skim berkenaan di Kelantan, sebanyak 446 permohonan telah diluluskan setakat ini, sekali gus memperlihatkan keperluan terhadap bantuan keusahawanan dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah.
“Bagi tahun 2027, geran ini untuk seluruh negara, kami sudah tambah kepada RM200 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di Lembah Sireh, di Kota Bharu, hari ini.
Perubahan besar
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, bantuan kewangan dalam jumlah yang mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak sebenarnya mampu memberikan perubahan besar kepada kehidupan peniaga yang berusaha meningkatkan pendapatan keluarga.
Katanya, terdapat peniaga kecil yang hanya memerlukan bantuan antara RM1,800 hingga RM5,000 untuk membeli kelengkapan asas perniagaan, termasuk peti sejuk bagi memastikan stok jualan dapat disimpan dengan baik.
“Walaupun peruntukan itu kecil tetapi manfaat itu langsung sampai,” katanya, sambil menegaskan bahawa kerajaan akan terus meneliti keperluan sebenar usahawan supaya bantuan yang disalurkan memberi kesan kepada perkembangan perniagaan mereka.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberikan perhatian khusus kepada usahawan wanita di Kelantan yang disifatkannya mempunyai pengalaman dan penglibatan besar dalam aktiviti perniagaan kecil, termasuk kegiatan jual beli di pasar dan perniagaan keluarga.
Beliau berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri telah diminta memberikan tumpuan lebih besar kepada penyertaan wanita dalam program bantuan keusahawanan di negeri berkenaan.
Anwar turut merujuk pencapaian peserta wanita Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman hampir 99 peratus sebagai contoh keupayaan golongan itu menguruskan bantuan kewangan dan tanggungjawab perniagaan dengan baik.
Mendengar sendiri
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan kunjungannya ke Kota Bharu pada petang tadi turut memberi peluang kepada beliau bertemu usahawan dan rakyat Kelantan serta mendengar sendiri keperluan komuniti peniaga kecil.
Beliau menjelaskan, Skim Usahawan Bangkit merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI meningkatkan keupayaan penjaja dan peniaga kecil supaya mereka bukan sahaja dapat meneruskan perniagaan, malah berpeluang menambah pendapatan keluarga secara berterusan.
Dalam ucapan sama, Anwar turut mengingatkan rakyat supaya menguasai ilmu dan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), digital serta teknologi kuantum bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan ekonomi dunia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan nilai, jati diri, budaya dan akhlak masyarakat, selaras dengan pendekatan pembangunan negara yang menekankan prinsip menggapai di langit dan mengakar di bumi.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria serta Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Feziharudean Tengku Feissal.
BACA JUGA Tak tunggu sidang media, Amirudin terus jawab isu babi di Bukit Lagong di Threads