‘Melaka Rumah Kita’ bergema, Bukit Katil bakal saksikan saingan tiga penjuru

Laungan ‘Melaka Rumah Kita’ bergema di sekitar Dewan Tun Ali, Bukit Katil, pagi ini, mengiringi ketibaan calon Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari, bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan tiba bersama puluhan penyokong PH yang tidak henti-henti melaungkan slogan berkenaan, sekali gus memeriahkan suasana hari penamaan calon.

Turut mengiringi beliau ialah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu.

Kehadiran dua pemimpin kanan AMANAH itu turut mencuri perhatian ketika penyokong PH mula memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon sejak awal pagi.

Adly yang pernah menerajui pentadbiran Melaka sebagai Ketua Menteri dari Mei 2018 hingga Mac 2020 sekali lagi diberikan kepercayaan untuk mempertahankan kerusi Bukit Katil.

Pada PRN 2021, beliau berjaya mengekalkan kerusi berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Percaturan berbeza

Bagaimanapun, gelanggang politik kali ini memperlihatkan percaturan berbeza apabila BN dan PN menjalin persefahaman politik menjelang PRN Melaka ke-16, termasuk menyelaraskan pembahagian kerusi bagi mengelakkan pertembungan sesama mereka.

Perubahan itu menyaksikan Adly dijangka berdepan calon Pas yang mewakili PN, Mohd Ridzuan Mohd Shariff, manakala Parti Bersama turut mempertaruhkan Dr Aliza Che Amran.

Pertembungan tiga penjuru itu bakal menjadi antara tumpuan di Bukit Katil apabila Adly berusaha mempertahankan mandatnya, sementara dua pencabar lain tampil membawa cabaran masing-masing.

Ketiga-tiga calon dilihat hadir ke pusat penamaan calon bersama penyokong masing-masing, namun jumlah calon yang sah bertanding hanya akan diketahui selepas proses penamaan selesai dan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi Adly, pertandingan kali ini turut membawa cabaran tersendiri apabila kerjasama BN-PN mengubah corak persaingan berbanding pilihan raya negeri terdahulu.

SPR menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundi Melaka akan menentukan pilihan mereka pada 14 November depan.

BACA JUGA ‘Ayuh turun beramai-ramai’, Bang Mat seru jentera AMANAH, PH beri sokongan kepada calon