Berpuluh tahun tertangguh, akhirnya PMX yang bagi RM250 juta siapkan stesen bas KB Sentral

Selepas bertahun-tahun tertangguh dengan sasaran penyiapan yang terus berubah, projek pembinaan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Kelantan akhirnya bakal menjadi realiti.

Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM250 juta bagi pembangunan terminal berkenaan.

Projek KB Sentral sudah tertangguh berpuluh tahun tanpa penyelesaian dengan kerajaan negeri berulang kali berjanji tentang pembinaan stesen itu.

Ia menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan negeri Pas merealisasikan projek kemudahan awam yang sekian lama dinantikan rakyat Kelantan.

Pengumuman Anwar dilihat sebagai perkembangan penting buat penduduk Kelantan yang menunggu kemudahan terminal bas lebih baik, ketika kerajaan negeri masih berdepan kelewatan dalam merealisasikan projek berkenaan.

Ketika berucap, Anwar turut menyentuh keadaan terminal bas di Kelantan sebelum mengumumkan peruntukan berjumlah RM250 juta bagi pembangunan KB Sentral.

Anwar berkata, beliau juga sudah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan berhubung peruntukan bagi pembangunan terminal bersepadu itu.

“Menteri Besar Kelantan cakap semua okey, sekolah okey, sekolah agama pun okey, tapi terminal bas dia kata tak baiki lagi

“Jadi saya telah luluskan…. baru je ni saya hantar surat kepada Datuk Menteri Besar, (peruntukan) terminal bas padu bersepadu Kota Bharu Sentral kita luluskan.

“(Peruntukan) bukan RM250,000. Tetapi RM250 juta,” katanya semalam 

Pengumuman itu memberi tekanan kepada kerajaan negeri untuk memastikan projek berkenaan benar-benar dilaksanakan selepas beberapa kali sasaran penyiapannya berubah.

Rakyat Kelantan kini menantikan tindakan susulan bagi memastikan peruntukan yang diumumkan itu diterjemahkan kepada kemajuan pembinaan, bukan sekadar satu lagi pengumuman ketika projek terus tertangguh.