Ulama Kelantan ingatkan sejarah Khawarij, haram jatuhkan pemerintah adil

Tokoh Ulama Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki menegaskan, cubaan menjatuhkan pemerintahan yang mentadbir secara adil adalah haram di sisi Islam.

Penasihat Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan itu mengaitkan perbuatan berkenaan dengan sejarah golongan Khawarij yang menentang pemerintahan Saidina Uthman RA dan berperang dengan Saidina Ali RA.

Beliau berkata perbuatan sedemikian tidak wajar berlaku khususnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hukumnya adalah haram! Menjatuhkan kerajaan yang adil, hukumnya adalah haram. Orang yang berusaha menjatuhkan pemerintahan yang adil adalah (bersifat) Khawarij,” katanya ketika berucap pada Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat di pekarangan Masjid Muhammadi malam tadi

Sementara itu Mudir Pondok Aur Cina, Abdul Rahman Omar pula berkata tindakan segelintir pihak yang berterusan cuba menggugat kepimpinan negara adalah perbuatan tidak bersyukur atas nikmat kestabilan sekali gus mencerminkan sifat munafik.

Dalam program tersebut, beliau mendoakan Perdana Menteri dipanjangkan umur dan dapat memerintah secara adil dengan lebih lama.

“Kita berdoa kepada Allah minta dipanjangkan umur beliau (Anwar) supaya dapat beliau memegang kerajaan ini sepanjang hayat kita, (supaya kita) dapat mengecap lebih banyak lagi nikmat yang akan diberi kepada kita semua, insya-Allah.

“Jadi, manusia ini sebenarnya apa pun tidak senang hati dia itu, itu orang munafik… tak bersyukur atas nikmat Allah… tak bersyukur atas kebaikan pemimpin-pemimpin yang begitu aman… kita tak boleh buat begitu,” katanya.