Aqabah Kedua: Pas pula tak mampu tandatangan perjanjian demi kestabilan politik?
Perjanjian Aqabah Pertama yang dimeterai Nabi Muhammad SAW bersama 12 penduduk Yathrib sering dianggap sebagai ikrar taat setia untuk membuka ruang kepada penyebaran Islam.
Dalam konteks politik Malaysia hari ini, kesepakatan itu kembali dijadikan perbandingan dengan Confidence and Supply Agreement (CSA), iaitu persefahaman antara kerajaan dan pembangkang bagi menjamin kestabilan pentadbiran.
Dalam satu ulasan di Facebook, pempengaruh Fairul al Qasas mengaitkan kedua-dua perjanjian berkenaan, sambil mempersoalkan pendirian Pas yang didakwa masih belum menyertai kesepakatan CSA.
Perjanjian Aqabah Pertama atau Bai’atul Aqabah al-Ula dimeterai Nabi Muhammad SAW bersama 12 wakil penduduk Yathrib daripada kabilah Aus dan Khazraj. Ia turut dikenali sebagai Perjanjian Wanita kerana tidak melibatkan tuntutan mempertahankan kesepakatan melalui kekuatan bersenjata.
Antara kandungan perjanjian itu ialah larangan mensyirikkan Allah SWT, mencuri, berzina, membunuh anak-anak, membuat tuduhan palsu serta mengingkari perintah Nabi Muhammad SAW dalam perkara makruf. Menurut Fairul, kesepakatan tersebut membuka ruang kepada pelaksanaan perkara baik, termasuk penyebaran dakwah Islam di Madinah.
Mengulas CSA, beliau menjelaskan perjanjian itu merupakan persefahaman bahawa Ahli Parlimen pembangkang tidak akan menolak belanjawan kerajaan atau mengemukakan usul undi tidak percaya. Sebagai timbal balik, kerajaan perlu memberikan ruang kepada pembangkang untuk mengemukakan cadangan serta menyumbang idea dalam penggubalan dasar dan belanjawan negara.
Di Malaysia, CSA mula dilaksanakan pada 2021 apabila kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob memeterai persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH), selepas kerajaan terdahulu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kehilangan sokongan majoriti.
Antara perkara utama dalam perjanjian itu ialah sokongan PH terhadap Belanjawan Negara, tidak mengemukakan usul undi tidak percaya serta cadangan memperkenalkan undang-undang antilompat parti.
Menurut Fairul, kesepakatan itu membolehkan kerajaan memberikan tumpuan kepada usaha menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara tanpa terlalu dibebani ancaman ketidaktentuan politik. Beliau turut mengaitkan ketidakstabilan politik ketika itu dengan pelaksanaan PRN Sabah, Melaka dan Johor.
Selepas pembentukan Kerajaan MADANI pada penghujung 2022, beberapa rundingan berkaitan CSA dengan pihak pembangkang dilaporkan diadakan, namun tidak mencapai persetujuan. Fairul mendakwa kegagalan itu berpunca daripada keinginan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan melalui percaturan politik.
Bagaimanapun, perubahan landskap politik mutakhir ini dilihat membuka semula peluang kepada pelaksanaan persefahaman berkenaan. Fairul mendakwa enam Ahli Parlimen Bersatu dan tujuh Ahli Parlimen Bebas sudah menandatangani CSA, sekali gus membentuk kumpulan yang dikenali sebagai kumpulan 6/7.
Beliau berpandangan penyertaan wakil Bersatu dalam kesepakatan itu menunjukkan ruang untuk mengambil alih kerajaan melalui percaturan politik semakin tertutup, terutama ketika tempoh penggal Parlimen semakin menghampiri penghujungnya.
Dalam perjanjian berkenaan, kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, malah turut memberikan komitmen terhadap pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri serta beberapa agenda reformasi institusi.
Persoalan itu menjadi antara kritikan utama Fairul apabila beliau melihat kesepakatan berkenaan sepatutnya memberikan manfaat kepada rakyat dan memudahkan Ahli Parlimen menjalankan tanggungjawab di kawasan masing-masing. Beliau mempersoalkan mengapa Pas masih belum menyertai CSA sedangkan perjanjian itu boleh membuka ruang kepada kestabilan politik.
Malah, beliau menyamakan kesepakatan CSA yang sedang dibentuk itu sebagai ‘Perjanjian Aqabah Pertama’ dalam konteks politik semasa.
“Jika perjanjian yang boleh diibaratkan sebagai ‘Perjanjian Aqabah Pertama’ pun mereka tidak mampu tandatangani, maka usahlah terlalu berharap PAS akan mampu bersama dalam ‘Perjanjian Aqabah Kedua’,” katanya.
Fairul turut mempersoalkan rekod Pas dalam mengekalkan kerjasama politik dengan parti lain, dengan mendakwa beberapa gabungan yang pernah disertai parti itu akhirnya berakhir dengan perpecahan. Beliau menyifatkan keadaan itu bukan semata-mata berpunca daripada pegangan prinsip, sebaliknya mendakwa terdapat sikap oportunis dalam pendekatan politik Pas.
BACA JUGA ‘Terima kasih PMX’, rakyat Kelantan tak sabar tengok hasil KB Sentral RM250 juta