“Jangan sakau duit amanah!” Anwar beri amaran: Salah guna dana, siap kena tangkap

Pengurusan dana awam bukan ruang untuk mencari keuntungan peribadi. Mana-mana pihak yang mengkhianati amanah dan menyeleweng wang yang dipertanggungjawabkan kepada mereka bakal berdepan tindakan undang-undang, termasuk ditangkap dan didakwa.

Amaran itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengingatkan agensi pembiayaan seperti TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) supaya memastikan setiap dana diurus dengan penuh integriti.

Anwar berkata, wang yang disalurkan menerusi institusi berkenaan merupakan wang amanah yang perlu dipelihara kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Saya bagi amaran, Steven Sim tahu. Setiap dana, baik TEKUN, baik Bank Rakyat, baik Amanah Ikhtiar. Jaga betul-betul, ini wang amanah. Kamu langgar, kamu ditangkap dan didakwa. Ini baru boleh selamat negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026, semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; serta Pengerusi Media Prima Berhad merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.

Amanah mesti mengatasi kepakaran

Dalam ucapannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kepakaran dan kemahiran dalam bidang kewangan sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disertai nilai amanah dan adab.

Menurutnya, keupayaan mengurus dana perlu disertai tanggungjawab supaya kepakaran tersebut tidak digunakan untuk melakukan penyelewengan sehingga merosakkan institusi.

Beliau turut mengaitkan usaha kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan kepada rakyat dengan langkah membendung ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah.

Katanya, walaupun terdapat kritikan di media sosial mengenai peningkatan peruntukan ketika hasil dan kutipan cukai dipersoalkan, kerajaan masih mampu menambah bantuan kerana wang negara tidak lagi dibocorkan melalui amalan rasuah.

“Ada orang nak pertikai dalam kadang-kadang media sosial. Tengok macam mana boleh cukai kurang, hasil pendapatan negara kurang. Tapi peruntukan tambah. Sebab dia tidak bocor. Sebab tidak sakau. Sebab tidak rasuah. Insya-Allah ada berkat dan kita tolong rakyat. Itu tujuan kita,” ujarnya.

Anwar turut menyentuh komitmen kewangan kerajaan, termasuk kos pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak RM18 bilion.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM16 bilion bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Bagaimanapun, beliau mengakui bantuan yang disediakan masih belum mencukupi untuk memenuhi semua keperluan rakyat dan usaha membantu golongan memerlukan perlu diteruskan secara berperingkat.

BACA JUGA Ceramah mega bukan pilihan Ginie Lim, calon PKR Machap Jaya pilih masuk kampung jumpa pengundi