Bukan hanya dakwaan RM9.5 juta, polis turut soal Rafizi mengenai isu saham Azam Baki
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli, mendedahkan beliau turut disoal polis mengenai isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki ketika memberi keterangan di Bukit Aman hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Rafizi selepas selesai menjalani proses rakaman percakapan selama kira-kira dua jam berhubung dua laporan polis yang melibatkan kes berasingan.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, siasatan pertama berkaitan dakwaan rasuah RM9.5 juta yang dikaitkan dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, serta isu ‘mafia korporat’.
Menurutnya, siasatan tersebut berpunca daripada ucapannya di Selayang pada 20 Oktober lalu yang kemudian menjadi subjek laporan polis.
Bagaimanapun, Rafizi memaklumkan beliau turut diminta memberikan keterangan mengenai satu laporan polis terdahulu yang dibuat pada Mac lalu.
Kata bekas Timbalan Presiden PKR berkenaan, laporan kedua itu menyentuh dakwaan berkaitan pemilikan saham oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“Saya disiasat berhubung dua laporan polis yang membabitkan kes-kes berasingan,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan.
‘Mafia korporat’
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu berkata, siasatan berkaitan dakwaan RM9.5 juta dan ‘mafia korporat’ dijalankan mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, siasatan mengenai isu saham Azam pula melibatkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, kewujudan dua siasatan berasingan menyebabkan proses rakaman percakapan mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.
“Itulah sebabnya ia mengambil masa sedikit lebih lama, memandangkan terdapat dua kes dan siasatan yang berasingan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan keseluruhan proses memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Rafizi turut enggan memperincikan jawapan yang diberikan kepada polis kerana kedua-dua kes berkenaan masih dalam siasatan.
Beliau memaklumkan pihak penyiasat boleh menghubungi peguamnya sekiranya memerlukan sebarang penjelasan atau maklumat tambahan.
Terdahulu, Rafizi hadir ke Bukit Aman bagi membantu siasatan mengenai dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Ramanan yang dikaitkan dengan isu ‘mafia korporat’.
Ramanan sebelum ini menafikan dakwaan rasuah tersebut, manakala Rafizi turut menyatakan bahawa beliau telah mengambil tindakan undang-undang terhadap menteri berkenaan.
Sebelum ini, Rafizi mendakwa siasatan polis terhadapnya mempunyai unsur tekanan politik dan menyamakannya dengan pengalaman ketika membangkitkan isu 1MDB, Tabung Haji, FELDA serta National Feedlot Corporation.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pegawai penyiasat perlu diberikan ruang untuk melengkapkan tugas sebelum sebarang keputusan dibuat melalui proses perundangan.
BACA JUGA Anwar dedah risikan Israel di negara jiran, ancaman keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan