Gen Z bekerja: Mukhlis tampil suarakan nasib ibu tunggal berkerusi roda, anak OKU

Calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin tampil menyuarakan nasib seorang ibu tunggal berkerusi roda yang hidup bersama anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan Mukhlis menerusi hantaran di Facebook rasminya selepas bertemu keluarga berkenaan ketika turun padang menyantuni penduduk Kuala Linggi.

Menurut Mukhlis atau nama sebenarnya Muhammad Mukhlisul Mubin Julaisapiyah, ibu tunggal berkenaan kini tinggal berdua bersama anak lelakinya, Hafiz, berusia 34 tahun, yang juga seorang OKU.

Keadaan keluarga itu semakin mencabar apabila mereka sebelum ini turut berdepan musibah banjir yang melanda kediaman mereka.

Mukhlis berkata, hasil pertemuan tersebut mendapati ibu berkenaan setakat ini hanya menerima bantuan tunai RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Lebih menyedihkan, anak-anaknya yang lain menetap di Klang, Selangor dan hanya berpeluang pulang menjenguk keluarga pada hujung minggu.

Penyaluran bantuan

Situasi itu menimbulkan persoalan kepada Mukhlis mengenai nasib keluarga yang memerlukan perhatian tetapi mungkin terlepas pandang dalam proses penyaluran bantuan.

Beliau turut dimaklumkan bahawa jiran-jiran di sekitar kediaman keluarga tersebut sudah menerima bantuan, sedangkan ibu tunggal itu masih memerlukan perhatian sewajarnya.

“Saya tertanya-tanya, berapa ramai lagi keluarga di luar sana yang berdepan keadaan sama, tetapi mungkin terlepas pandang apabila bantuan disalurkan?” katanya.

Menurut Mukhlis, keadaan tersebut membuktikan pentingnya komunikasi berterusan antara masyarakat dengan pusat khidmat supaya masalah rakyat dapat dikenal pasti lebih awal.

Graduan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu tidak mahu golongan yang sedang berdepan kesusahan terpaksa mencari sendiri pihak yang sanggup mendengar dan membantu menyelesaikan masalah mereka.

Sebagai calon muda, Mukhlis mengakui beliau mungkin belum mampu membantu semua pihak, namun bertekad memastikan setiap aduan yang diterima diberikan perhatian.

“Saya mungkin belum mampu membantu semua orang, tetapi saya mahu pastikan setiap aduan dan cerita yang sampai kepada saya tidak berakhir sekadar menjadi cerita,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa setiap masalah rakyat perlu didengar, disemak dan diusahakan penyelesaiannya mengikut kemampuan serta saluran yang tersedia.

“Kita dengar, kita semak dan kita usahakan sebaik mungkin,” ujar anak tempatan yang dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Linggi itu.

Mukhlis turut menyeru supaya tiada keluarga di Kuala Linggi dibiarkan berdepan kesusahan tanpa perhatian daripada masyarakat dan pihak berkaitan.

“Jangan biarkan ada keluarga di Kuala Linggi yang rasa mereka berjuang sendirian,” tegas calon Parti Amanah Negara (AMANAH) itu lagi.

BACA JUGA Pengorbanan tentera diiktiraf, Anwar umum berita baik buat pegawai kanan ATM