Hina Sultan Selangor di Facebook, telefon pemilik akaun ‘Vikke Lee’ disita SKMM
Satu hantaran Facebook yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kini dalam siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan telefon bimbit serta kad SIM milik pemilik akaun berkenaan turut disita.
Siasatan itu dijalankan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Vikke Lee’ susulan dakwaan memuat naik kandungan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Dalam satu kenyataan, SKMM memaklumkan rakaman percakapan individu terbabit telah dijalankan di Balai Polis Sri Petaling.
Selain mengambil keterangan, pihak berkuasa turut menyita satu telefon bimbit bersama satu kad SIM bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
SKMM berkata pihaknya memandang serius penyebaran kandungan dalam talian yang disyaki mengandungi maklumat palsu atau unsur penghinaan terhadap institusi diraja.
Menurut suruhanjaya itu, kandungan sedemikian berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat, khususnya apabila membabitkan isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja.
Orang ramai turut diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab serta tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang melanggar undang-undang negara.
BACA JUGA Pengorbanan tentera diiktiraf, Anwar umum berita baik buat pegawai kanan ATM