Pas persoal status Zakir Naik, kerajaan jawab tiada komitmen serah kepada India

Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa tiada sebarang komitmen diberikan untuk menyerahkan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, kepada India walaupun negara itu pernah mengemukakan permohonan ekstradisi terhadap beliau.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sudah membuat keputusan untuk tidak mengekstradisi pendakwah berkenaan berdasarkan peruntukan undang-undang negara.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berlandaskan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi Malaysia-India yang ditandatangani pada 2010 serta Akta Ekstradisi 1992.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan juga tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India setakat ini.

Katanya, permohonan rasmi terakhir daripada kerajaan India diterima pada 19 Januari 2018, sebelum nota diplomatik bagi meminta pertimbangan semula dikemukakan pada 29 Mei 2020.

“Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India.

“Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web Parlimen.

Ekstradisi

Penjelasan itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa daripada Pas, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, mengenai perkembangan terkini permohonan ekstradisi pendakwah tersebut.

Ahmad Marzuk sebelum itu meminta kerajaan menjelaskan tarikh permohonan rasmi terakhir diterima daripada India serta status dokumen yang dikemukakan.

Wakil rakyat Pas berkenaan turut mempersoalkan sama ada bukti dan dokumen daripada India memenuhi syarat Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian antara kedua-dua negara.

Selain itu, pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu mahu mengetahui sama ada kerajaan Malaysia pernah memberikan sebarang komitmen untuk menyerahkan Zakir kepada pihak berkuasa India.

Isu berkenaan kembali mendapat perhatian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Pada September lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, turut menggesa Anwar memperjelaskan kedudukan undang-undang dan diplomatik berhubung permohonan ekstradisi tersebut.

Takiyuddin mahu kerajaan menjelaskan perkara yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin serta sama ada sebarang persefahaman dicapai dalam pertemuan berkenaan.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kecukupan dokumen dan keterangan yang dikemukakan India bagi memenuhi kehendak undang-undang Malaysia.

Zakir sebelum ini dikehendaki pihak berkuasa India berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian yang dikaitkan dengan beliau.

Sebelum ini, media India, New Delhi Television (NDTV) melaporkan bahawa Anwar mengesahkan isu ekstradisi Zakir pernah dibincangkan secara tertutup dengan pihak India.

Bagaimanapun, jawapan rasmi Saifuddin di Parlimen kini memperjelaskan bahawa perbincangan diplomatik tersebut tidak membawa kepada sebarang komitmen Malaysia untuk mengekstradisi Zakir.

Pendirian itu turut menunjukkan bahawa keputusan berkaitan ekstradisi dibuat berdasarkan kerangka undang-undang Malaysia dan perjanjian yang dimeterai bersama India.

BACA JUGA Dulu tolak CSA, sekarang terima – Marzuki dedah apa yang sudah berubah!