PMX bincang bantuan tambahan untuk mangsa banjir Kampung Melayu Subang 

Seramai 575 penduduk daripada 253 keluarga terjejas akibat banjir kilat di Kampung Melayu Subang, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan bantuan tambahan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terbela.

Perkara itu dibangkitkan ketika Anwar menziarahi penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, selepas selesai urusan di Parlimen.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau mengambil kesempatan bertanya khabar, mendengar sendiri kesulitan yang dihadapi serta melihat keadaan dan keperluan keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Beliau turut berbincang dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan wakil rakyat kawasan berhubung bantuan tambahan kepada keluarga yang terjejas.

Tumpuan terhadap bantuan itu hadir ketika ratusan penduduk berdepan kesan banjir yang melanda kawasan berkenaan petang Isnin, selepas hujan lebat mengakibatkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan.

Menurut laporan Media Selangor, taburan hujan di Kampung Melayu Subang mencecah 116.5 milimeter (mm), manakala paras air di sesetengah kawasan kediaman dilaporkan mencapai kira-kira satu meter.

Kejadian itu turut menjejaskan kira-kira 92 rumah di empat kawasan, iaitu Lorong Merbau membabitkan 30 rumah, Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima) dan Jalan Jati (50).

Keadaan banjir yang meningkat dengan cepat turut menyaksikan penduduk terpaksa menyelamatkan ahli keluarga dan mengalihkan kenderaan ke kawasan lebih selamat.

Laporan Sinar Harian pada Selasa menyebut seramai 575 mangsa daripada 253 keluarga direkodkan terjejas setakat 11.15 pagi. Daripada jumlah itu, lapan keluarga membabitkan 30 individu ditempatkan di PPS Dewan Siantan, manakala selebihnya menumpang di rumah saudara-mara.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan projek tebatan banjir perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.

Antara langkah yang disebut ialah pelebaran sungai dan pembinaan kolam tambahan sebagai sebahagian usaha menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.

Beliau berharap semua keluarga terjejas diberikan kekuatan dan ketabahan, selain memberi jaminan kerajaan akan terus memastikan kebajikan serta keperluan mereka terbela sepanjang tempoh sukar itu.

BACA JUGA Anwar dedah risikan Israel di negara jiran, ancaman keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan