Selepas ‘kantoi’ guna dewan kerajaan untuk kempen, Zahid kata lawan terdesak!

Dakwaan penggunaan premis dan jentera kerajaan dalam kempen PRN Melaka kini menjadi polemik politik, namun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan isu yang dibangkitkan terhadap calon BN DUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar itu sebagai alasan pihak yang terdesak.

Zahid berkata beliau tidak melihat perkara berkenaan sebagai satu permasalahan besar, malah mendakwa pihak lain juga mengadakan majlis yang dihadiri menteri dan timbalan menteri masing-masing.

Menurutnya, dalam suasana pilihan raya, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada kempen secara baik dan bersih, bukannya membesarkan perkara yang dianggapnya tidak perlu.

“Kalau satu kumpulan itu merasa terdesak, mereka akan mencari pelbagai alasan, mencari pelbagai perkara kerana mungkin mereka sangat terdesak.

“Saya tidak fikir itu perlu kita gembar-gemburkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Dewan Alamanda, hari ini.

Zahid turut mengingatkan semua parti supaya menghormati pilihan rakyat dan tidak menjadikan isu tertentu sebagai alasan untuk mencetuskan polemik sepanjang tempoh berkempen.

“Saya harap kita berkempen secara baik, berkempen dengan cara bersih. Rakyat telah ada pilihan masing-masing.

“Jangan disebabkan oleh perkara yang buruk atau perkara yang menjadi ‘titik bengik’ untuk dijadikan sebagai alasan yang pelbagai,” katanya.

Beliau berkata, segala polemik sepanjang kempen tidak seharusnya mengalih perhatian daripada perkara lebih penting, iaitu memberi peluang kepada rakyat menentukan wakil pilihan mereka.

Katanya, arah sokongan pengundi hanya akan diketahui apabila proses pengundian berlangsung pada 14 November ini.

Kenyataan Zahid itu menyusul selepas PH membuat laporan polis terhadap Khaidirah, yang juga dikenali sebagai Dira, berhubung dakwaan penyalahgunaan premis dan jentera kerajaan ketika berkempen.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin oleh wakil PH, Siti Aishah Shaik Ismail, semalam.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan penggunaan Kompleks JAPERUN Rim bagi majlis penyampaian sumbangan Deepavali, bakul makanan yang tertera logo Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), selain kehadiran pegawai beruniform MPJ yang didakwa memaparkan imej calon.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih perlu disiasat dan tidak boleh dianggap sebagai kesalahan yang telah terbukti.

Persoalannya, adakah isu penggunaan kemudahan kerajaan dalam kempen pilihan raya sekadar alasan politik, atau perkara yang wajar dijelaskan secara terbuka bagi memastikan pertandingan berlangsung secara adil?

BACA JUGA Projek RM9 bilion tak tender, PMX dedah ada elemen ‘sakau’ dalam skandal saluran paip Sabah!