ARTIKEL | Tindakan Hadi umpama jeritan ‘Azab’ dalam Perjanjian Aqabah Kedua
MUHAMMAD FAIRUL AL QASAS
Apabila saya mengulas berkenaan dengan perjanjian CSA baru-baru ini, saya mengaitkan dengan perjanjian Aqabah Pertama.
Persamaan antara dua perjanjian ini ialah komitmen untuk melakukan perkara baik. Bezanya CSA ada ganjaran kewangan bagi peruntukan parlimen.
CSA bukan baru diperkenalkan oleh Kerajaan Madani. Sebaliknya pada tahun 2021, Kerajaan PN terlebih dahulu memperkenalkan CSA.
Tujuan CSA jelas. Pembangkang diminta untuk menyokong belanjawan dan mengelakkan undi tidak percaya.
Kerana apa? Kerana untuk memastikan kerajaan boleh berfungsi dengan baik tanpa perlu memikirkan silat kungfu politik yang menyebabkan ketidakstabilan kerajaan.
Ketidakstabilan kerajaan akan menjejaskan ekonomi dan kemakmuran rakyat.
Walaupun penggal kerajaan hampir tamat, dengan CSA ini kerajaan akan dapat melaksanakan waad belanjawan, yang baru diluluskan.
Belanjawan bukan sekadar janji, ia merupakan satu perancangan teliti pembangunan negara yang penting dilaksanakan untuk negara dan rakyat.
Apabila Hadi Awang menganggap perjanjian CSA ini sebagai dajal, ia mengingatkan saya kepada Perjanjian Aqabah Kedua.
Apabila selesai bai’ah Aqabah Kedua, ketua syaitan di bukit Aqabah yang bernama Azab menjerit.
Azab menjerit: “Wahai penduduk al-Akhasyib, kamu tahu tak Muhammad dan orang-orangnya ini? Mereka telah berjanji setia untuk memerangi kamu”
Suara syaitan ni mengikut sirah, didengar secara jelas dan didengari oleh semua orang yang ada pada malam itu, sehinggakan pembesar Quraish pada esoknya memeriksa khemah kaum Ansar dari Madinah.
Siapa sangka hari ini di Parlimen ada ‘azab’ yang sedang menjerit mempertikaikan perjanjian yang baik dengan tujuan yang baik.
Kita tahu bahawa CSA adalah antaranya untuk meluluskan belanjawan.
Belanjawan kali ini-2027 memperuntukkan RM3.1 bilion untuk JAKIM, PERKESO percuma untuk imam bilal dan siak, bina stesen bas Kelantan dll.
Tapi ‘azab’ menjerit membantahnya. Maka benarlah apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.
“Bukan Dajjal yang lebih aku bimbangkan atas umatku—baginda mengucapkannya tiga kali.”
Lalu ditanya: “Apakah itu wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Para pemimpin yang menyesatkan (A’imamatan mudhillin)” (HR Ahmad daripada Abu Zar R.A.).