Hadi Awang samakan CSA dengan pendekatan Dajjal untuk terus berkuasa

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan Ahli Parlimen pembangkang sebagai “pendekatan Dajjal pada akhir zaman”.

Menerusi tulisan Minda Presiden Pas bertajuk Tempias Dajjal Sudah Tiba, Hadi mendakwa perjanjian berkenaan menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang perlu ditunaikan kepada semua rakyat, sebaliknya sebagai cara untuk terus mengekalkan kuasa.

“CSA adalah pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa.

“Walaupun tidak berlagak menjadi tuhan laksana Dajjal yang besar, tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat Dajjal,” tulis beliau.

Dalam tulisan sama, Hadi turut menyentuh soal amanah kepimpinan dengan memetik hadis Rasulullah SAW bahawa urusan pemerintahan yang diserahkan kepada individu tidak layak adalah petanda hampirnya kiamat.

Beliau mengkritik golongan yang mengejar jawatan pemimpin demi kepentingan duniawi, termasuk mereka yang tidak melihat amanah kepimpinan sebagai tanggungjawab besar di sisi Allah SWT.

“Amanah paling besar ialah amanah memimpin manusia yang menjadi suatu kesalahan besar apabila diberikan kepada orang yang tidak layak kerana sifat fasiq seperti suka berbohong dan lain-lain.

“Demikian juga sifat rakus meminta-minta menjadi pemimpin demi mendapatkan kepentingan duniawi dan menganggap amanah kepimpinan bukanlah perkara besar di sisi Allah,” katanya.