‘Janganlah sampai ekstrem… Hadi Awang tahu ke bila kiamat?’ – Azalina balas Pas
Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan kenyataan terbaharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan Ahli Parlimen pembangkang sebagai ‘Dajjal’, adalah tindakan yang ekstrem.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, Ahli Parlimen Marang berkenaan sepatutnya menggunakan perkataan lain untuk menunjukkan bantahannya dan bukan mengeluarkan kenyataan keterlaluan seperti itu.
“Kalau dia memanggil Dajjal, saya rasa dialah kena berikan sebabnya. Saya tak boleh komen kerana saya bukan pakar agama.
“Kalau saya tak suka, banyak lagi perkataan saya boleh pakai kalau tak suka, tapi janganlah sampai ekstrem.
“Saya tengok definisi Dajjal tu adalah tanda yang turun masa nak kiamat. Adakah dia tahu bila kiamat nak berlaku?” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, Abdul Hadi mengaitkan perjanjian CSA sebagai “pendekatan Dajjal pada akhir zaman”.
Menerusi tulisan Minda Presiden Pas bertajuk Tempias Dajjal Sudah Tiba, Hadi mendakwa perjanjian berkenaan menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang perlu ditunaikan kepada semua rakyat, sebaliknya sebagai cara untuk terus mengekalkan kuasa.
Perjanjian persefahaman antara kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang bukanlah perkara baru kerana pada 2021 ketika Perikatan Nasional dan Umno mentadbir Persekutuan, mereka juga melaksanakan konsep perjanjian yang sama.
Ketika itu tiada bantahan dari Pas malah banyak kenyataan parti itu yang menyokong perjanjian tersebut.