‘Kita yang pulihkan dia, tapi…’ PMX jawab Shahidan yang mahu ketua AKPS dikekalkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam kes membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, meskipun mengakui mempunyai simpati peribadi terhadap pegawai itu.

Anwar berkata demikian ketika menjawab desakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya kerajaan mengekalkan Mohd Shuhaily sebagai ketua pengarah AKPS berikutan prestasi cemerlangnya menerajui agensi berkenaan.

Menariknya, Anwar mendedahkan bahawa kerajaan pimpinannya sendiri memainkan peranan memulihkan kerjaya Mohd Shuhaily selepas pegawai itu didakwa pernah diturunkan kedudukan dalam pentadbiran terdahulu.

“Kita yang pulihkan dia kerana prestasi dia, itu biar rekod ini betul,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Anwar turut mengingatkan bahawa beliau pernah membawa Mohd Shuhaily dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebelum pegawai itu diberikan tanggungjawab lebih besar.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan bahawa hubungan baik dan rekod perkhidmatan seseorang pegawai tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan siasatan terhadap sebarang dakwaan salah laku.

“Kalau tanya saya dari segi peribadi, saya ada simpati peribadi saya,” katanya sambil menjelaskan bahawa setiap dakwaan tetap perlu disiasat mengikut proses undang-undang.

Beliau turut mengingatkan supaya tiada pihak meminta dirinya atau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail campur tangan dalam siasatan berkenaan.

Terdahulu, Shahidan mempersoalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk mengembalikan Mohd Shuhaily kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedangkan pegawai itu dianggap antara yang terbaik dalam perkhidmatan penguatkuasaan negara.

Menurut Shahidan, kejayaan AKPS menangani penyeludupan dan memperkukuh kawalan sempadan membuktikan kepimpinan Mohd Shuhaily masih diperlukan oleh agensi berkenaan.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai laporan polis yang dibuat berhubung insiden membabitkan Mohd Shuhaily serta bagaimana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian itu boleh tersebar.

Shahidan berpendapat keputusan memindahkan pegawai tersebut perlu dinilai semula kerana AKPS juga telah membuat laporan berhubung insiden berkenaan.

Menjawab perkara itu, Anwar menjelaskan bahawa tindakan terhadap Mohd Shuhaily berpunca daripada laporan polis yang memerlukan siasatan dilaksanakan tanpa mengira kedudukan individu terlibat.

Perdana Menteri turut mengimbas kes bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang pernah dipenjara selepas didapati bersalah memukul Anwar ketika beliau berada dalam tahanan pada 1998.

Menurut Anwar, jasa seseorang pegawai kepada negara tidak bermakna individu berkenaan boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan.

Beliau malah menggunakan contoh Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menjelaskan bahawa seseorang yang dianggap baik juga tidak boleh terlepas daripada tindakan sekiranya menampar pegawai.

Anwar turut menegaskan bahawa keputusan untuk mendakwa atau tidak mendakwa seseorang merupakan bidang kuasa Jabatan Peguam Negara berdasarkan hasil siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pertuduhan itu berkaitan kejadian pada 28 September lalu yang mendapat perhatian selepas rakaman CCTV insiden berkenaan tersebar di media sosial.

Pada 29 Oktober, Saifuddin mengumumkan keputusan mengembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM selepas penamatan penempatannya secara pinjaman di AKPS.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail menjelaskan bahawa penugasan baharu pegawai itu masih memerlukan proses perundangan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan pelantikannya lebih awal.

Mohd Shuhaily dilaporkan kembali menjalankan tugas di AKPS pada 2 November selepas bercuti dan mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan agensi berkenaan.

Anwar sekali lagi menegaskan bahawa tindakan terhadap penjawat awam perlu mengikut peraturan ditetapkan dan tidak seharusnya dianggap sebagai kontroversi politik semata-mata.

BACA JUGA RM250 juta lebih diluluskan untuk Kelantan, RM30 juta bina terminal bas ECRL Kota Bharu