Pemilik syarikat bergelar Datuk disyaki rasuah anggota polis RM1 juta ditahan SPRM

Tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM1 juta kepada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rasuah diberikan sebagai balasan kerana melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram.

Sumber memaklumkan pemilik syarikat itu bersama dengan dua wanita terdiri daripada guru tuisyen dan pegawai pemasaran berusia 30 hingga 50-an itu, ditahan kira-kira 4 petang pada 1 Nov di beberapa lokasi berasingan sekitar Putrajaya, Selangor dan Johor.

Kesemua suspek dipercayai memberi rasuah kepada beberapa anggota lain-lain pangkat dan pegawai PDRM.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 hingga kini,” menurut sumber.

Difahamkan aktiviti penyeludupan rokok haram itu berlaku di sekitar negeri Pantai Timur dan Lembah Klang.

Melalui siasatan yang dijalankan, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama PDRM telah mengeledah beberapa lokasi, yang terdiri daripada premis pejabat dan kediaman suspek.

“Dalam operasi tersebut SPRM telah menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM600,000, empat unit telefon bimbit serta satu unit komputer riba.

“Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 20 akaun bank persendirian serta sembilan akaun bank syarikat, yang berjumlah kira-kira RM1.5 juta,” menurut sumber.

Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 2 hingga 5 Nov, selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada 2 Nov.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.