‘Berat dakwaan kalau tak ikut parti tertentu dianggap tak laksana tanggungjawab agama’ – Mufti Perlis
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengingatkan bahawa parti politik hanyalah ijtihad manusia dan bukannya sebahagian daripada mazhab atau ajaran agama yang wajib diikuti.
Menerusi satu video yang kini tular di media sosial, Dr Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, adalah satu dakwaan yang berat apabila ada pihak mendakwa wajib mengikut sesebuah parti dan menganggap sesiapa yang tidak menyertainya sebagai tidak melaksanakan tanggungjawab Islam.
“Parti politik ini, semua ijtihad dia satu peratus daripada mazhab pun tak dak. Tiba-tiba dakwa wajib ikut parti A. Siapa tak mengikuti parti, bererti tidak menyertai atau melaksanakan tanggungjawab Islam.
“Berat (dakwaan ini). Berat. Ini dakwaan yang mesti mereka berdiri di hadapan Allah di hari kiamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sikap segelintir pihak yang seolah-olah menyamakan sokongan terhadap parti politik dengan kewajipan agama.
Walaupun tidak dapat dipastikan bila video berkenaan dirakam, isi kandungannya dilihat bertepatan dengan situasi semasa apabila masih ada pihak yang mendakwa hanya parti mereka sahaja yang memperjuangkan Islam, manakala pihak lain dianggap tidak Islamik.
Dr Maza menegaskan, dakwaan seumpama itu disifatkan sebagai sensitif kerana ia boleh membawa kepada pendustaan terhadap Allah sekiranya sesuatu ijtihad politik cuba diwajibkan ke atas orang lain.
“Ini memang agak-agak sensitiflah sebab ia satu pendustaan. Pendustaan kepada Allah. Kalau dia kata pada ijtihad saya ini yang terbaik. Kita terima. Untuk mewajibkan orang lain….orang lain tak terikat dengan ijtihad dia. Ini bukan agama,” katanya.
Menurut beliau, mana-mana pihak boleh menyatakan pandangan bahawa pendekatan parti mereka adalah yang terbaik, namun ia tidak boleh diwajibkan ke atas orang lain kerana ia bukan ketetapan syarak.