‘Kansas tu macam Kelantan!’ – Kemenangan Demokrat selepas 94 tahun buat netizen teringat Pas

Kejutan politik di Kansas, Amerika Syarikat (AS) apabila Parti Demokrat memenangi kerusi Senat selepas 94 tahun mencetuskan perbualan hangat netizen Malaysia yang mula membandingkannya dengan penguasaan Pas di Kelantan.

Perbandingan itu tercetus menerusi hantaran pengguna Threads, @marsxran yang membayangkan kemungkinan perubahan politik serupa berlaku di Kelantan selepas negeri tersebut ditadbir Pas selama lebih tiga dekad.

“Kau bayangkan Kansas tu macam Kelantan tau, berpuluh tahun Pas pegang, tiba kali ni tumbang,” tulisnya sambil mengaitkan keputusan bersejarah pilihan raya AS itu.

Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang memberikan pelbagai reaksi termasuk menyuarakan harapan agar perubahan politik turut berlaku di Kelantan.

Pengguna, @salinahariri menulis, “Insya-Allah Kelantan akan jadi macam Kansas,” manakala @mohd.anuar.37 turut menyatakan harapan supaya Kelantan mengikut jejak langkah wilayah yang dikenali sebagai Midwest dan Great Plains itu.

Kemenangan bersejarah di Kansas kelmarin menyaksikan calon Demokrat, Adam Hamilton menewaskan penyandang Republikan, Roger Marshall dalam pilihan raya Senat AS.

Hamilton yang merupakan seorang paderi mencipta sejarah sebagai calon Demokrat pertama dipilih mewakili Kansas ke Senat AS sejak George McGill memenangi pilihan raya pada 1932.

Bagaimanapun, rekod 94 tahun itu merujuk kepada kemenangan kerusi Senat dan bukannya bermaksud Parti Republikan menguasai seluruh pentadbiran Kansas tanpa putus sepanjang tempoh berkenaan.

Di Kelantan pula, Pas kembali menguasai kerajaan negeri pada 1990 ketika era Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan terus mempertahankan pentadbirannya sehingga kini.

Perbandingan tersebut turut mengundang sindiran seorang pengguna Threads, @ami3_my yang menulis, “mujur parti kat sana takde jual syurga neraka,” dipercayai merujuk kepada retorik agama dalam politik di Malaysia khususnya Kelantan.

BACA JUGA Puad cabar Majlis Ulama Umno, Dr Asyraf jangan membisu isu ‘Dajal’ Hadi