Mujahid cabar Hadi kemuka bukti, tunjuk klausa mana dalam CSA sama pendekatan Dajal

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya yang menyamakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan “Dajal pada akhir zaman”.

Timbalan Presiden AMANAH itu berkata, Hadi perlu menunjukkan klausa dalam perjanjian berkenaan yang membuktikan wujudnya unsur penipuan, paksaan atau pengkhianatan amanah.

Beliau berkata, selagi bukti tidak dikemukakan, beliau melihat pelabelan tersebut sebagai tuduhan berniat jahat yang mengapi-apikan kebencian politik.

Beliau turut mempersoalkan konsistensi pendirian Hadi dengan mengimbas kembali pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 September 2021.

Mujahid berkata, ketika itu, Pas dan Bersatu turut berada dalam kerajaan, manakala Hadi berkhidmat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

“Walaupun MoU 2021 dan CSA sekarang berbeza kandungannya, kedua-duanya melibatkan persefahaman kerajaan dengan pembangkang demi kestabilan. 

“Apakah ukuran prinsip Hadi sehingga kerjasama ketika Pas berada dalam kerajaan boleh diterima, tetapi kini dilabel dengan istilah Dajal?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Mujahid menegaskan kestabilan mesti disertai reformasi, peruntukan rakyat mesti adil dan telus, serta semak imbang mesti dipertahankan. 

Beliau meminta supaya perjanjian tersebut dinilai berdasarkan kandungan dan pelaksanaannya, bukan menggunakan agama untuk menggantikan bukti.