OPR kekal 2.75 peratus, kali kelapan berturut-turut

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, pengekalan kali kelapan berturut-turut sejak Julai 2025.

BNM berkata, petunjuk ekonomi terkini menunjukkan pertumbuhan global terus berdaya tahan, disokong pelaburan teknologi yang kukuh serta keadaan pasaran buruh yang stabil.

“Bagaimanapun, inflasi meningkat sedikit susulan kenaikan kos tenaga dan dijangka kekal tinggi berikutan kesan peningkatan kos terhadap harga pengguna.

“Ketidaktentuan geopolitik dijangka terus memberi tekanan kepada pertumbuhan global, khususnya dalam keadaan tekanan inflasi yang masih berterusan.

“Namun, kesannya dijangka dapat dikurangkan menerusi perbelanjaan berkaitan teknologi yang kekal kukuh serta penyesuaian berterusan terhadap kekangan bekalan,” katanya dalam kenyataan. 

Bank pusat itu berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.8% serta 1.9% sejak awal tahun sehingga kini.

Tegasnya, walaupun konflik berlarutan di Timur Tengah dan pengeluaran komoditi lebih rendah boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi, ia akan terus memantau keadaan tekanan kos serta permintaan domestik memandangkan dua faktor itu memberi kesan terhadap prospek inflasi.

Selain itu, asas ekonomi negara yang kukuh dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi berdaya tahan pada 2027, dengan sektor luaran kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Katanya, langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 juga akan memberi sokongan tambahan kepada penggunaan swasta.