Anthony Loke umum letak jawatan sebaik sahaja Najib tiba di kediaman
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan akan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kabinet berkuat kuasa serta merta sebaik sahaja bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sampai di kediamannya bagi menjalani tahanan di rumah.
Setiausaha agung DAP itu sebelum ini sudah pun mengumumkan peletakan jawatannya pada September,
selepas Najib dikurniakan pengampunan bersyarat.
“Saya difahamkan pembayaran RM50 juta itu telah pun diselesaikan di Mahkamah Tinggi pagi tadi.
“Sebaik sahaja Najib tiba dan menjejakkan kaki di rumah, berkuat kuasalah (peletakan jawatan saya). Kalau malam ini jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa. Kalau esok, esoklah. Saya akan utuskan satu surat tambahan kepada perdana menteri,” kata beliau dalam sidang media petang tadi.
Loke berkata, peletakan jawatan itu mencerminkan pendirian DAP, terhadap keputusan tahanan rumah Datuk Seri Najib.
“DAP menghormati kuasa dan prerogatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun demikian, kami berpandangan bahawa pemberian tahanan rumah kepada Najib, yang terbabit dalam skandal yang membawa kesan begitu besar kepada ekonomi dan imej negara, berpotensi membawa satu mesej tidak wajar kepada generasi akan datang,” katanya.
Loke berkata, ketika surat peletakan jawatan itu dikemukakan, Perdana Menteri meminta beliau meneruskan tugas sehingga isu pembayaran RM50 juta diselesaikan dan Najib dibenarkan pulang ke rumah.