Daripada 16 kerusi tinggal dua, Bersatu sindir Pas sekadar terima sisa Umno

Keputusan Pas hanya bertanding di dua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengundang sindiran daripada Berssatu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz secara sinis mempersoalkan ke mana hilangnya kekuatan Pas memandangkan parti tersebut sebelum ini berhasrat merebut sehingga 16 kerusi.

Menurut Tun Faisal, jumlah kerusi yang diterima Pas memperlihatkan percanggahan ketara antara dakwaan bahawa parti itu mempunyai kekuatan besar dengan kedudukan sebenarnya dalam rundingan politik.

Beliau berkata, Pas sepatutnya membuktikan keyakinan terhadap kekuatan akar umbinya dengan meletakkan lebih ramai calon, bukannya menerima pengurangan kerusi secara mendadak.

Malah, Tun Faisal turut mempersoalkan pendirian Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang sering menonjolkan keupayaan parti itu untuk bergerak secara bersendirian.

Katanya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pas pernah menyasarkan sehingga 16 kerusi DUN Melaka berdasarkan kekuatan yang didakwa dimiliki parti berkenaan.

Keutamaan

Bagaimanapun, hasrat tersebut akhirnya berubah apabila Pas terpaksa menyesuaikan tuntutannya dengan pembahagian kerusi yang memberikan keutamaan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sebelum ini Pas mahu bertanding 16 kerusi. Namun, akhirnya mereka hanya mengambil kerusi-kerusi yang berbaki yang tidak dikehendaki oleh Umno,” katanya, dipetik NST.

Tun Faisal berkata, daripada tujuh kerusi yang pada awalnya diperuntukkan kepada Pas dan sekutunya, satu kerusi diserahkan kepada MCA manakala kerusi lain diagihkan kepada rakan politik sehingga Pas sendiri hanya bertanding di dua kawasan.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang perlu dijelaskan oleh kepimpinan Pas, terutama apabila parti berkenaan sering menggambarkan dirinya sebagai kuasa politik yang mampu berdiri tanpa bergantung kepada pihak lain.

“Walaupun sudah hampir 80 tahun berada dalam arena politik, Pas membuktikan bahawa parti itu tidak mampu bertanding secara bersendirian di seluruh negeri,” tegasnya.

Bergerak solo

Tun Faisal turut mencabar Pas supaya membuktikan keyakinannya dengan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka sekiranya benar-benar percaya parti itu mampu bergerak secara solo.

Sebaliknya, beliau berkata, Bersatu memilih untuk bertanding di tujuh kerusi sebagai langkah strategik bagi membina semula kekuatan parti serta menawarkan peranan semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.

“Bersatu bukan merayu untuk terus hidup. Kami berdiri teguh atas prinsip sendiri, membina semula kekuatan bersama ahli-ahli yang benar-benar setia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Tun Faisal turut membangkitkan persoalan mengenai kesesuaian pendekatan konservatif Pas dengan kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat Melaka.

Beliau menjadikan penganjuran acara kebudayaan seperti joget lambak sebagai contoh yang boleh menguji pendirian Pas sekiranya parti itu mahu memainkan peranan dalam pentadbiran negeri.

Berdasarkan keputusan penamaan calon pada 31 Oktober lalu, Bersatu disahkan bertanding di tujuh kerusi, manakala Pas mempertaruhkan dua calon daripada keseluruhan lima kerusi yang ditandingi PN.

BACA JUGA Polis sahkan pelajar lelaki tular khayal hisap vape positif 3 jenis dadah