KPDN perkukuh industri francais, RM29 juta diperuntuk bantu usahawan tempatan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Tealive Sparkling Crafted Tea – Prebiotic Soda disempurnakan oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 di Level 2, Centre Court Pavilion Shopping MallKuala Lumpur. Khamis 5hb November 2026 (Gambar: UKK KPDN)

Kerajaan memperuntukkan RM29 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh industri francais negara serta membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak RM20 juta disalurkan melalui PERNAS SME & Francaisor Financing Scheme (PSFS) bagi membantu usahawan mendapatkan modal permulaan dan modal kerja.

Menurutnya, pembiayaan itu meliputi pembangunan premis, pengubahsuaian, pembelian peralatan serta penyediaan stok awal dengan kaedah pembiayaan lebih fleksibel. Kerajaan turut memperuntukkan RM9 juta menerusi program Be Your Own Boss (BYOB) bagi melahirkan lebih ramai usahawan francais dalam kalangan wanita dan belia Bumiputera.

Peserta program berkenaan akan menerima latihan berstruktur, padanan perniagaan, bantuan pembiayaan serta pemantauan selama enam bulan selepas memulakan perniagaan. Armizan berkata, berdasarkan rekod MyFEX 2.0 sehingga 27 Oktober lalu, sebanyak 3,681 pendaftaran francais direkodkan, termasuk 489 francaisor dan francaisor induk serta 3,192 francaisi.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 304 atau 62.2 peratus francaisor merupakan jenama tempatan yang berpotensi untuk terus berkembang ke pasaran antarabangsa. Beliau turut menjadikan kejayaan Tealive sebagai contoh apabila jenama minuman tempatan itu kini mempunyai 800 cawangan di Malaysia dan 82 cawangan francais di sembilan negara setakat Oktober 2026.

Katanya, KPDN melalui Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan terus membantu PMKS membangunkan model perniagaan francais yang mampan, kompetitif dan mampu menembusi pasaran global. Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media sempena Majlis Perasmian Tealive Sparkling Crafted Tea – Prebiotic Soda di Pavilion Kuala Lumpur, Khamis.