Najib sah dah keluar dari penjara Kajang

Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan keluar meninggalkan kompleks Penjara Kajang, jam 2.37 petang, hari ini. 

Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia turut kelihatan mengiringi kenderaan membawa Najib.

Bagaimanapun laporan-laporan media setakat ini masih belum dapat mengesahkan kenderaan beliau dibawa menuju ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur yang sebelum ini dikaitkan dengan pelaksanaan tahanan rumahnya. 

Terdahulu, Najib selesai membayar denda RM50 juga yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perkara itu turut disahkan peguamnya, Muhammad Farhan. 

Pada 18 September lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.