‘Saat saya mula-mula menyokong Anwar’

Oleh ZUNAR

Pada 2 September 1998, Anwar yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah dipecat, dan beliau ditangkap 18 hari kemudian.

Ketika Anwar dipecat, saya tidak mempedulikannya kerana menganggapnya sebagai isu politik semata-mata. Pecat-memecat, cantas-mencantas, dan jatuh-menjatuhkan adalah perkara biasa dalam dunia politik.

Apatah lagi, saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Namun, apabila Anwar ditangkap, ia sudah melangkaui batas hak asasi manusia dan saya perlu mengambil sikap.

Tuduhan liwat ciptaan Mahathir serta drama sandiwara yang dilakonkan olehnya dan konco-konconya sama sekali tidak meyakinkan, malah tidak dapat diterima oleh akal sihat saya.

Bagaimanapun, saya perlu turun ke padang untuk mencari kepastian. Ketika itu, bermula dari 2 September hingga 20 September 1998, boleh dikatakan hampir setiap malam majlis ceramah diadakan di kediaman Anwar.

Pada satu malam, saya bersama seorang teman (Nazri Jalauddin) berkesempatan untuk kali pertama mendengar ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri itu di rumahnya di Bukit Damansara.

Ketika itu, ribuan orang hadir termasuklah ada yang sanggup memanjat bukit kerana halaman rumah sudah penuh sesak dengan manusia.

Luar biasa

Apabila Anwar naik ke pentas, gemaan ribuan teriakan “reformasi” menyambut kehadirannya.

Saya mula terfikir, jika benar Anwar bersalah, pastinya beliau tidak akan mendapat sambutan luar biasa sebegini.

Orang yang bersalah tidak akan berani berceramah di hadapan khalayak ramai, apatah lagi untuk bertentang mata dengan ribuan manusia. Mulai saat itu, saya yakin beliau dijatuhkan bukan kerana skandal seks.

Pada siang hari tersebut, penulis ucapan Anwar iaitu Dr. Munawar Anees telah ditangkap. Ceramah Anwar pada malam itu, termasuk satu baris pidato yang sangat penting dan signifikan, terus melenyapkan baki keraguan saya.

Saya rasa tidak ada pemimpin Malaysia lain yang mempunyai keberanian untuk mengungkapkan kata-kata sedemikian.

Merujuk kepada penangkapan Dr. Munawar, Anwar menegaskan lebih kurang begini:

“Kenapa tangkap orang-orang saya? Tangkap saya. Saya pemimpin!!!”. Kata-kata seperti ini tidak mungkin lahir daripada mulut seorang pemimpin biasa mahupun pemimpin-pemimpin Umno ketika itu.

Ungkapan sebegini hanya mampu diucapkan oleh seorang pemimpin yang benar-benar mempunyai jiwa pembela di dalam hatinya.

Bagi saya, inilah sosok pemimpin yang memiliki jiwa pembela yang boleh disandarkan harapan oleh rakyat.

Jiwa pembela itu jelas terserlah dalam peristiwa berikutnya, yang kemudiannya diceritakan kepada saya oleh Pak Ibrahim dan Rusli (kedua-duanya Allahyarham).

Dalam peristiwa demonstrasi membela petani miskin Baling yang diadakan di Masjid Negara pada tahun 1974, Anwar pada asalnya tidak ditangkap.

Beliau sudah pun pulang dan berada di rumah bapanya (Pak Ibrahim) di Petaling Jaya.

Namun, apabila mendapat perkhabaran tentang penangkapan teman-temannya (termasuk Fadzil Noor), beliau segera ke Balai Polis Jalan Stadium untuk membela mereka. Tindakan itu akhirnya menyebabkan beliau sendiri ditangkap di bawah ISA selama dua tahun.

Ciri kedua yang membuka hati saya untuk menyokong Anwar pula adalah ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip, walaupun berhadapan dengan ugutan mahupun imbuhan.

Sebelum dipecat, Anwar telah diberi kata dua oleh Dr. Mahathir sama ada “meletakkan jawatan atau menghadapi tuduhan yang memalukan”.

Tawaran lumayan

Ugutan ini turut diiringi dengan laporan mengenai tawaran lumayan untuk bertugas di Bank Dunia sekiranya beliau memilih untuk meletak jawatan.

Anwar menjawab, “Kenapa saya harus meletak jawatan? Saya tidak bersalah.”

Anwar tahu bahawa dengan mengekalkan pendirian itu, beliau bakal menghuni penjara.

Beliau tahu beliau bakal kehilangan segala-galanya: jawatan tinggi dan gaji yang lumayan.

Namun, beliau tetap mempertahankan prinsipnya walau terpaksa berhadapan dengan risiko yang besar.

Beliau adalah seorang pemimpin yang berani menerima kehilangan. Jarang sekali saya melihat pemimpin yang sanggup melepaskan segala kemewahan demi sebuah prinsip.

Kerana itulah, saya menghormati Anwar sebagai pemimpin dan terus menyokong beliau.

Slogan Anwar, “Kalau takut dengan risiko, jangan bicara soal perjuangan” bukan sekadar kata-kata kosong, tetapi telah dibuktikan melalui pelaksanaan dan pengorbanan yang nyata.

BACA JUGA Denda RM50 juta sudah dibayar, bila Najib akan keluar Penjara Kajang?