Dulu kecam 1MDB, sekarang jadi juara tahanan rumah Najib – ARMADA sindir Wan Fayhsal

Perubahan pendirian dalam isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengundang sindiran ARMADA Bersatu Malaysia terhadap bekas ketua mereka Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

ARMADA menyifatkan Ahli Parlimen Machang itu, kini seolah-olah berubah daripada pengkritik tegar 1MDB kepada antara suara yang lantang memperjuangkan isu pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib.

Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid berkata, perubahan itu menimbulkan ironi kerana Wan Fayhsal sebelum ini dikenali menerusi penulisan dan kupasan kritikal berhubung skandal kewangan berkenaan.

Beliau malah mengibaratkan pendirian Wan Fayhsal seperti bendera yang berubah mengikut arah angin politik semasa.

“ARMADA melihat satu ironi yang amat besar apabila YB Wan Ahmad Fayhsal kini seolah-olah berubah arah daripada seorang pengkritik tegar 1MDB kepada seorang juara tahanan rumah buat Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Harris, generasi muda masih mengingati rekod penulisan Wan Fayhsal yang suatu ketika dahulu lantang mengkritik 1MDB menerusi media sosial dan portal analisis.

Katanya, antara perkara yang pernah disentuh Wan Fayhsal termasuk struktur hutang 1MDB, penerbitan bon Goldman Sachs serta penggunaan syarikat cengkerang (shell companies) dalam penyelewengan dana awam.

Beliau berkata, kupasan berkenaan mencerminkan idealisme seorang anak muda yang tegas menentang rasuah dan salah guna kuasa, justeru prinsip itu tidak sepatutnya berubah hanya kerana percaturan politik.

“Kupasan-kupasan bertulis beliau yang secara khusus membongkar struktur hutang 1MDB, isu bon Goldman Sachs, dan peranan syarikat cengkerang untuk menyeleweng dana rakyat adalah manifestasi idealisme anak muda yang tidak sepatutnya dicairkan, diubah hala, atau dikompromikan hari ini demi sebarang perkiraan politik jangka pendek,” katanya.

Sehubungan itu, Harris mengingatkan Wan Fayhsal supaya tidak menjadi lebih lantang daripada Umno sendiri dalam memperjuangkan isu yang membabitkan Najib.

Katanya, perjuangan politik generasi muda sepatutnya kekal berteraskan prinsip menolak rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan dana rakyat tanpa mengira kedudukan atau pengaruh seseorang pemimpin.

“Oleh itu, kami ingin memperingatkan YB Wan Ahmad Fayhsal agar tidak bertindak lebih sudu daripada kuah atau menjadi lebih cenderung daripada Umno sendiri dalam memperjuangkan agenda melibatkan figura yang terkait dengan krisis integriti terbesar negara,” katanya.

Bagaimanapun, Harris menjelaskan bahawa kritikan ARMADA terhadap Wan Fayhsal tidak bermaksud sayap Bersatu itu mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan atau kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan pengampunan perlu dihormati dan dilaksanakan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang sah.

“ARMADA menegaskan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan haruslah sentiasa dihormati dan dilaksanakan mengikut ketetapan prosedur yang sah.

“Kritikan dan pembuktian ketidakkonsistenan terhadap YB Wan Fayhsal sama sekali tidak mempertikaikan kuasa mutlak institusi Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya kekal menjunjung tinggi kedaulatan Perlembagaan serta institusi beraja negara,” katanya.

Kenyataan ARMADA itu menyusul selepas Wan Fayhsal dilaporkan mendesak kerajaan memberikan penjelasan berhubung penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib, susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara pada 6 November lalu.

Isu berkenaan mencetuskan perdebatan mengenai pelaksanaan keputusan pengampunan, kedudukan perintah mahkamah serta bidang kuasa pihak berkuasa dalam menentukan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.

BACA JUGA Dulu Ong lapor SPRM, kini duduk semeja dengan Khairy… mana cerita RM30 bilion PFI?