Faham derita rakyat, Anwar pertahan subsidi untuk marhaen
Keperluan golongan berpendapatan rendah yang masih bergelut memenuhi keperluan asas menjadi antara sebab kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menghapuskan subsidi secara menyeluruh, sebaliknya perlu memastikan bantuan terus sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan subsidi masih diperlukan kerana terdapat keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan, malah ada yang belum tentu mampu menyediakan makanan untuk keperluan seminggu.
Berucap dalam Forum Ilmuan MADANI, beliau berkata bantuan kerajaan amat penting bagi keluarga yang bergantung kepada pendapatan harian untuk meneruskan kehidupan.
“Ada keluarga yang kais pagi makan pagi, yang belum tentu mampu menyediakan makanan untuk seminggu. Bagi mereka, bantuan kerajaan penting untuk meneruskan hidup,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar turut mempersoalkan sikap pihak tertentu yang mendesak supaya subsidi kepada rakyat ditamatkan atas alasan meningkatkan daya saing dan produktiviti, tetapi pada masa sama meminta kerajaan menyediakan insentif cukai kepada syarikat.
Menurutnya, kedua-dua perkara itu pada asasnya merupakan bentuk bantuan kerajaan yang menggunakan sumber kewangan negara, meskipun diberikan melalui mekanisme berbeza.
“Ironinya, ada yang mahu subsidi tertentu ditamatkan atas alasan daya saing dan produktiviti, tetapi pada masa yang sama mendesak supaya syarikat diberi insentif cukai.
“Satu disebut subsidi, satu lagi insentif. Kedua-duanya bantuan kerajaan,” katanya.
Kenyataan itu memperlihatkan pendirian Anwar bahawa dasar bantuan kerajaan tidak seharusnya dinilai secara berbeza sehingga kebajikan rakyat dianggap sebagai beban, sedangkan sokongan kepada sektor korporat pula diterima sebagai instrumen ekonomi.
Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian isi rumah, subsidi dan bantuan bersasar memainkan peranan penting untuk membantu rakyat mendapatkan keperluan asas serta mengurangkan tekanan perbelanjaan harian.
Pada masa sama, insentif cukai kepada syarikat juga mempunyai tujuan tersendiri, antaranya merangsang pelaburan, mengembangkan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Namun, persoalan yang diketengahkan Perdana Menteri ialah keperluan memastikan prinsip keadilan digunakan secara seimbang ketika menilai setiap bentuk bantuan kerajaan.
Bagi golongan marhaen yang berdepan kesukaran memenuhi keperluan harian, subsidi bukan sekadar angka dalam belanjawan, sebaliknya bantuan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Pendekatan Kerajaan MADANI, menurut mesej yang disampaikan Anwar, perlu mengambil kira kemampuan kewangan negara tanpa mengetepikan nasib keluarga yang masih memerlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan.
BACA JUGA ‘PH tumbang, jangan terlalu seronok…’ – Nordin Kardi ingatkan pihak yang bakal menyesal panjang