Peguam Negara bukan ‘budak suruhan’ Anwar – Ibrahim Ali

Keputusan berhubung isu pengampunan, pelaksanaan hukuman dan kemungkinan tahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak perlu dinilai berdasarkan undang-undang, bukannya dijadikan modal untuk menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam urusan perundangan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai kebebasan dan tanggungjawab tersendiri untuk membuat keputusan berkaitan perkara perundangan tanpa dipengaruhi arahan politik ketua kerajaan.

Memetik laporan The Malaysia Press (TMP), Ibrahim berkata, walaupun Peguam Negara dilantik oleh Perdana Menteri, keadaan itu tidak bermakna setiap keputusan AGC dibuat mengikut kehendak atau kepentingan politik Anwar.

Beliau berkata, AGC mempunyai pegawai dan barisan peguam kanan yang berpengalaman untuk meneliti sesuatu perkara sebelum sebarang keputusan dibuat, terutama apabila ia membabitkan isu sensitif seperti pengampunan Najib, pembayaran denda RM50 juta dan pelaksanaan baki hukuman.

“AGC perlu melihat dari segi undang-undang terlebih dahulu. Peguam Negara mempunyai ramai pegawai dan peguam kanan yang boleh berbincang serta meneliti perkara ini sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya.

Ibrahim berkata, penelitian menyeluruh amat penting kerana sebarang keputusan yang dibuat berpotensi dicabar oleh pihak lain melalui proses mahkamah.

Justeru, katanya, AGC perlu memastikan setiap tindakan mempunyai asas perundangan yang kukuh dan tidak membuka ruang kepada pertikaian yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi berkenaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa keputusan berkaitan pendakwaan perlu mengambil kira tahap pembuktian melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt).

Katanya, jika bukti tidak mencukupi untuk membuktikan sesuatu pertuduhan, tindakan membawa kes ke mahkamah berisiko berakhir dengan kekalahan pihak pendakwaan.

“Kalau AGC melihat bukti tidak cukup kuat dan tidak boleh dibuktikan melampaui keraguan munasabah, kalau dibawa pendakwaan pun mungkin kalah.

“Apabila kalah, orang akan dakwa keputusan itu dibuat secara sengaja atau ada unsur penganiayaan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim mengakui kedudukan Peguam Negara yang dilantik oleh Perdana Menteri boleh menimbulkan persepsi politik, namun perkara tersebut tidak seharusnya dijadikan bukti bahawa wujud campur tangan kerajaan dalam sesuatu keputusan perundangan.

“Memang kerajaan Anwar, Peguam Negara lantikan Anwar, itu betul. Tetapi saya percaya sesuatu yang hendak dibuat kalau atas dasar ‘political manoeuvre’, orang akan nampak kebenarannya.

“Ini keputusan AGC. Kalau Najib balik, kemudian ada orang cabar di mahkamah, itu menjadi masalah AGC, bukan Anwar. Tetapi dari segi politik, semuanya dihalakan kepada Anwar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan terburu-buru sebaliknya memberikan ruang kepada AGC menjelaskan asas perundangan sebelum menilai sesuatu keputusan.

Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak mahu membuat sebarang tuduhan awal kerana masih memerlukan penjelasan lanjut mengenai kedudukan undang-undang dalam isu berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan berdiam diri sekiranya AGC didapati tidak telus atau bertindak atas arahan pihak tertentu.

“Kalau AGC menjalankan tugas dan didapati tidak telus atau menerima arahan pihak tertentu, saya sendiri akan mengecamnya. Tetapi beri peluang dahulu kepada AGC untuk membuat kerja dengan betul dan telus,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, AGC pada Jumaat mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi selesai.

Penangguhan itu bertujuan mendapatkan kepastian undang-undang berhubung baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International serta implikasinya terhadap pelaksanaan hukuman dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Sabtu, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi memohon ampun serta menjelaskan persoalan perundangan berhubung penangguhan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, urusan memperincikan kedudukan perundangan itu diserahkan kepada Peguam Negara kerana perkara tersebut bukan bidang kuasa beliau.

Perkembangan itu sekali lagi meletakkan AGC di tengah-tengah perdebatan politik berhubung kedudukan Najib, dengan persoalan utama kini tertumpu kepada tafsiran undang-undang dan bidang kuasa institusi yang terlibat.

BACA JUGA ARTIKEL | Isu Najib, isu Tuanku Muhriz: Adakah Umno bermain dua wajah soal institusi diraja?