Pelaburan Bitdeer bukti komitmen MADANI pacu AI, RM1.1 bilion buka laluan ekonomi digital
Komitmen pelaburan RM1.1 bilion oleh Bitdeer Technologies Group untuk membangunkan infrastruktur digital di Malaysia menjadi antara gambaran usaha Kerajaan MADANI memperkukuh kedudukan negara dalam industri teknologi tinggi, khususnya kecerdasan buatan (AI).
Lebih menarik, syarikat teknologi yang tersenarai di Nasdaq itu bukan sekadar melaksanakan komitmen pelaburan sedia ada, malah sedang memperhalusi cadangan pelaburan jangka panjang bagi mengembangkan lagi operasinya di Malaysia.
Perkembangan itu dibincangkan dalam pertemuan wakil Bitdeer dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta wakil Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Aziz, yang turut menghadiri pertemuan itu berkata, Bitdeer kini sedang mengembangkan operasi AI di Malaysia, termasuk di Cyberjaya dan Johor.
Menurutnya, cadangan pelaburan jangka panjang yang sedang diperhalusi berpotensi membawa lebih banyak teknologi dan peluang baharu kepada negara.
“Bitdeer sebelum ini telah mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM1.1 bilion untuk membangunkan infrastruktur digital di Malaysia. Syarikat teknologi yang tersenarai di Nasdaq ini juga sedang mengembangkan operasi AI mereka di Malaysia, termasuk di Cyberjaya dan Johor,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Perkembangan itu memperlihatkan bagaimana agenda ekonomi digital dan AI menjadi antara tumpuan penting Kerajaan MADANI dalam usaha membawa Malaysia ke tahap ekonomi bernilai tinggi.
Dalam persaingan global menarik pelaburan teknologi, negara bukan lagi boleh bergantung semata-mata kepada industri tradisional atau kelebihan kos operasi. Infrastruktur digital, keupayaan pengkomputeran dan tenaga kerja berkemahiran tinggi semakin menjadi faktor utama yang menentukan daya saing sesebuah negara.
Justeru, kemasukan pelaburan seperti Bitdeer memberi peluang kepada Malaysia memperkukuh ekosistem teknologi, selain membuka ruang kepada pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang yang dijangka terus berkembang.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul menegaskan bahawa kejayaan menarik pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah modal yang diumumkan semata-mata.
Sebaliknya, manfaat kepada rakyat perlu menjadi keutamaan, terutama melalui pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi, peluang membina kepakaran dalam bidang AI dan penglibatan lebih besar syarikat tempatan dalam rantaian industri teknologi.
“Bagi saya, yang penting bukan sekadar berapa banyak pelaburan masuk. Kita mahu lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia, peluang membina kepakaran dalam bidang AI, dan ruang untuk syarikat tempatan turut berkembang,” katanya.
Beliau berkata, komitmen pelaburan Bitdeer sebelum ini perlu dijadikan asas untuk membina keyakinan pelabur lain agar lebih banyak projek teknologi berskala besar dibawa masuk ke Malaysia.
“Sekarang kita mahu bina atas keyakinan itu supaya lebih banyak pelaburan dan manfaat dapat dibawa ke Malaysia,” katanya.
Usaha ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan teknologi bernilai tinggi, di samping mempercepat transformasi digital dan memperkukuh keupayaan industri tempatan.
Namun, cabaran seterusnya ialah memastikan komitmen pelaburan tersebut benar-benar diterjemahkan kepada projek yang beroperasi, peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan.
Jika manfaat itu dapat direalisasikan, pelaburan Bitdeer bukan sekadar menambah angka pelaburan negara, malah boleh menjadi sebahagian daripada usaha lebih besar Kerajaan MADANI membina ekonomi digital yang mampu memberi pulangan jangka panjang kepada rakyat Malaysia.
BACA JUGA ARTIKEL | Isu Najib, isu Tuanku Muhriz: Adakah Umno bermain dua wajah soal institusi diraja?