PH hantar penerima anugerah Ahli Majlis Terbaik MPHTJ, graduan UM lawan Helmy di Duyong

Berbekalkan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan tempatan serta pengiktirafan sebagai Ahli Majlis Terbaik 2025 di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Poo Long Suan menawarkan pendekatan perkhidmatan berteraskan hubungan langsung dengan masyarakat dalam persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Calon Pakatan Harapan (PH) berusia 43 tahun itu merupakan graduan Sarjana Muda Sains Kimia Gunaan dari Universiti Malaya (UM) yang turut mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan masyarakat dan pentadbiran kerajaan tempatan.

Beliau mengakui populariti penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, khususnya di media sosial. 

Bagaimanapun, Poo berpandangan keutamaan seorang wakil rakyat bukan sekadar meraih perhatian dalam talian, sebaliknya memahami dan menyelesaikan masalah penduduk.

Menurut Poo, pertemuan secara bersemuka membolehkan beliau mendengar sendiri keluhan, cadangan dan harapan masyarakat tanpa bergantung sepenuhnya kepada komunikasi digital.

Pengalaman berkhidmat di kawasan Kesidang sepanjang menjadi ahli majlis MPHTJ turut memberikan pendedahan kepadanya dalam mengendalikan pelbagai isu setempat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Aduan DAP Melaka berkata, pengalaman tersebut mengajarnya kepentingan mengenal pasti punca sesuatu masalah, berurusan dengan pihak berkaitan dan membuat tindakan susulan sehingga penyelesaian dicapai.

Malah, Poo berhasrat memberikan komitmen sepenuh masa kepada penduduk Duyong sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), berbanding tanggungjawab ahli majlis yang bukan bersifat sepenuh masa.

Antara isu setempat yang dikenal pasti memerlukan perhatian ialah kesesakan lalu lintas, masalah banjir khususnya di Bukit Duyong, sistem perparitan, penyelenggaraan jalan raya dan kemudahan awam.

Poo tidak menafikan sumbangan penyandang sepanjang penggal lalu, namun berpandangan masih terdapat ruang penambahbaikan dalam aspek infrastruktur dan kesejahteraan penduduk.

Dalam kempen pilihan raya kali ini, beliau memilih untuk mendekati pengundi melalui lawatan rumah ke rumah, pasar malam dan majlis kemasyarakatan bagi membina hubungan secara langsung.

DUN Duyong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Poo mewakili PH dan Mohd Noor Helmy daripada Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021, Mohd Noor Helmy memenangi kerusi tersebut dengan majoriti tipis 200 undi.

Dengan jumlah pengundi kini meningkat kepada 26,528 orang, kedua-dua calon menawarkan rekod pengalaman dan pendekatan perkhidmatan masing-masing menjelang hari pengundian pada 14 November ini.

BACA JUGA Penjara mahal, tahanan rumah murah? PSM persoal siapa tanggung kos Najib