‘PH tumbang, jangan terlalu seronok…’ – Nordin Kardi ingatkan pihak yang bakal menyesal panjang

Keghairahan sesetengah pihak yang mahu melihat Pakatan Harapan (PH) tumbang mungkin akhirnya memakan diri apabila mereka gagal mengambil kira kesan lebih besar terhadap landskap politik dan hala tuju negara.

Peringatan itu disuarakan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Nordin Kardi, menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

“Mereka yang beriya-iya nak supaya PH kalah dan jatuh akan menyesal panjang suatu hari nanti. Watch my words,” katanya.

Kenyataan ringkas itu membawa mesej yang cukup tajam kepada kelompok yang menjadikan kejatuhan PH sebagai sasaran utama percaturan politik mereka.

Walaupun tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkan, penggunaan ungkapan “Watch my words” (Ingat kata-kata saya)  seolah-olah memberi isyarat bahawa Nordin melihat sesuatu perkembangan politik yang mungkin tidak dijangka oleh mereka yang terlalu mengharapkan kerajaan sekarang tumbang.

Peringatan itu juga boleh dibaca dalam konteks prestasi pentadbiran Kerajaan MADANI yang bukan sahaja perlu dinilai dari sudut polemik politik, tetapi juga berdasarkan dasar dan manfaat yang telah disalurkan kepada rakyat.

Antara langkah paling ketara ialah peluasan bantuan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dengan peruntukan keseluruhan RM15 bilion bagi 2026.

Bantuan itu merangkumi STR untuk isi rumah dan warga emas yang layak, selain SARA bulanan yang memberi sokongan pembelian barangan keperluan asas kepada hampir sembilan juta penerima.

Kerajaan turut memperkenalkan SARA Untuk Semua yang memberikan kredit RM100 kepada lebih 22 juta pemegang MyKad dewasa, dengan peruntukan RM2.2 bilion.

Pendekatan tersebut memperlihatkan usaha kerajaan memperluas bantuan bukan sekadar melalui pembayaran tunai bermusim, tetapi juga sokongan pembelian barangan asas yang boleh digunakan secara berperingkat.

Dari sudut ekonomi pula, prestasi negara turut menunjukkan perkembangan positif.

Anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi negara berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2026, manakala pertumbuhan bagi tiga suku pertama tahun ini mencecah 5.5 peratus.

Sebelum itu, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026, disokong permintaan domestik dan prestasi sektor luaran.

Pasaran pekerjaan juga kekal berdaya tahan apabila kadar pengangguran berada pada paras 2.9 peratus pada Ogos 2026, menurut angka yang dipetik Kementerian Kewangan.

Dalam aspek pelaburan, Malaysia turut mencatat rekod pelaburan diluluskan sebanyak RM431.1 bilion pada 2025, meningkat berbanding RM384.4 bilion pada 2024.

Pencapaian itu penting kerana pelaburan baharu berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, teknologi serta ekonomi digital.

Kerajaan juga meneruskan agenda perlindungan rakyat melalui subsidi bersasar, termasuk inisiatif BUDI MADANI, selain program Jualan Rahmah MADANI bagi membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Namun, pencapaian angka ekonomi dan jumlah bantuan tidak bermakna semua masalah rakyat sudah selesai. Kos sara hidup, tekanan harga barangan dan jurang pendapatan masih menjadi cabaran yang memerlukan tindakan berterusan.

Hakikatnya, ukuran kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar pada berapa lama ia mampu bertahan, tetapi juga sejauh mana dasar yang dilaksanakan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Dalam konteks itu, peringatan Nordin membawa satu persoalan penting kepada pihak yang mahu melihat PH tumbang: apakah yang bakal menggantikan dasar dan program sedia ada sekiranya perubahan kerajaan benar-benar berlaku?

Kejatuhan sesebuah kerajaan tidak secara automatik menjamin pihak yang mengambil alih mampu menawarkan pentadbiran lebih baik. Mereka tetap perlu membuktikan keupayaan mengurus ekonomi, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kesinambungan pembangunan negara.

Setakat hantaran tersebut, Nordin tidak memperincikan maksud sebenar peringatannya atau siapa yang bakal menyesal seperti yang disebutnya.

Namun, mesejnya jelas mengingatkan bahawa dalam politik, terlalu ghairah meraikan kemungkinan kekalahan pihak lawan belum tentu membawa keuntungan kepada pihak sendiri.

BACA JUGA ANALISIS │113 inisiatif BN-PN untuk Melaka, mana pelan khusus banteras rasuah?